[VIDEO] Lepas Richard Chin, Kobe Jae Chong pula 'ambil turn' sarung jersi HM


  • Podium
  • Isnin, 27 Nov 2023

Kobe (depan) sudah meledak lima gol bersama Barwell pada musim ini. — Instagram/FutureTalents

PENANTIAN untuk menyaksikan pemain warisan negara, Kobe Jae Chong menyarung jersi kebangsaan nampaknya bakal tercapai apabila 'ubi muda' itu sendiri memberi bayangan untuk menyertai kem Malaysia dalam masa terdekat.

Menerusi laman Instagram miliknya, pemain berdarah campuran Malaysia-Jamaica tersebut memuat naik komen ucapan terima kasih kepada penyokong tanah air yang rata-ratanya berminat untuk melihat kemampuan pemain tengah itu bersama skuad kebangsaan.

Sepotong ayat Kobe itu membuatkan ramai penyokong bola sepak domestik menafsir bahawa ia adalah petunjuk bekas acuan akademi West Bromwich Albion berkenaan bakal memperkuatkan skuad Bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan di Piala Asia nanti.

“Terima kasih semua. Jumpa anda semua tidak lama lagi Malaysia,” tulis Kobe di ruangan komen.

Pemain berusia 22 tahun itu semakin mendapat rentak permainannya dan semakin mempamerkan skil luar biasa bersama pasukan baharunya iaitu Barwell, yang kini berada dalam saingan Southern League Premier Division Central.

Kobe baru-baru ini melakar namanya selaku penjaring gol buat Barwell sewaktu menentang Royston Town dan jaringan berkenaan adalah gol kelimanya bersama pasukannya untuk saingan musim ini.

WhatsApp Image 2023-11-27 at 11.22.48

Tangkap layar hantaran dari laman Instagram, Future Talents.

Terdahulu, pemain kacukan England-Malaysia, Richard Chin sah bersama Harimau Muda apabila berjaya melengkapkan dokumentasi sebelum menyertai skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara.

Kebolehannya beraksi di beberapa posisi pertahanan bakal menjadi aset kepada skuad kendalian Juan Torres Garrido menjelang saingan Piala Asia B-23 yang berlangsung pada tahun hadapan.

Pengurus skuad B-23 negara, Datuk Seri Shahril Mokhtar turut mengakui potensi yang dimiliki oleh pemain berusia 21 tahun itu meskipun baru dua hari berlatih bersama skuad Harimau Muda.

"Baru dua hari tapi boleh nampak potensi dia besar walaupun baru berusia 21 tahun.

"Saya fikir jurulatih Torres dan Shukor Adan ada banyak pilihan sekarang.

"Richard boleh main wing-back dan mifdfield, jadi pilihan kita lebih banyak, seronok kalau kita buat pilihan," kata Shahril. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram