Tiga tonggak The Bos Gaurus perlu diawasi jika Gergasi Merah enggan kempunan slot Asia


  • Podium
  • Sabtu, 25 Nov 2023

Sebahagian sesi latihan The Bos Gaurus (TBG) menjelang perlawanan Liga Super berdepan The Red Giants pada Sabtu. — Facebook/PerakFC

MENJELANG pertemuan antara Selangor FC dan Perak FC dalam saingan Liga Super 2023, Gergasi Merah pastinya berhasrat besar mahu mencuri tiga mata penting dalam aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor pada Sabtu.

Menentang skuad kendalian Yusri Che Lah yang menghuni tangga kesembilan liga menjadikan Selangor sebagai pasukan pilihan dalam usaha mendapatkan tiga mata penting.

Namun begitu, itu bukanlah petanda Gergasi Merah boleh bersenang-lenang dan memandang rendah kebolehanan Perak. Jika tersalah langkah, mereka boleh tersungkur di laman sendiri.

WhatsApp Image 2023-11-24 at 18.19.17

Kelincahan Faisal Halim pastinya ditagih untuk membenam Perak FC. — Facebook/SelangorFC

Sekiranya tewas di tangan Perak, pastinya kedudukan kedua dalam liga skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu akan tergugat selain gagal layak ke Piala AFC musim depan.

Oleh itu, Majoriti menyenaraikan tiga pemain yang perlu diawasi apabila The Bos Gaurus (TBG) berkunjung ke Selangor:

1. Wan Zack Haikal

Pemain yang menjadi kesayangan penyokong Perak ketika ini pastinya akan menjadi tumpuan pertahanan Selangor FC sepanjang 90 minit aksi permainan pada Sabtu.

Pernah mencetak dua gol saingan Liga Super yang masing-masing ketika berdepan Penang FC dan Kelantan FC, dia pastinya menjadi senjata membolosi pintu gawang Selangor.

Gerakan lincah yang ada pada Wan Zack berbahaya untuk pasukan lawan kerana sekiranya dibiarkan pemain berusia 32 tahun itu dilihat mampu bergerak bebas dan pasukan lawan akan dihukum dengan jaringan gol.

2. Luciano Guaycochea

Kapten pasukan Perak ini dilihat berjaya memimpin rakan-rakan sepasukannya menumbangkan Sabah FC secara agregat 3-2 ketika perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Perak, Ipoh.

Pengaruhnya sebagai ketua pasukan amat penting dalam memastikan pemain-pemain Perak sentiasa bersedia mengekang asakan bintang-bintang Selangor.

Keberadaan Guaycochea di bahagian pertahanan juga penting kerana kualitinya membantu melindungi benteng akhir daripada dibolosi oleh pasukan lawan.

Persembahan Guaycochea amat penting dalam menentukan keselamatan pintu gol Perak dan jika dia tidak berada pada tahap terbaik, The Bos Gaurus dalam keadaan bahaya ketika berdepan dominasi jentera tengah Merah Kuning.

3. Seo Seonung

Penyerang berusia 22 tahun itu mempamerkan aksi cukup bersemangat, selain berhasil menunjukkan ketajamannya di hadapan pintu gol dengan menyumbat lapan gol dalam perlawanan Liga Malaysia.

Akaun golnya bersama skuad TBG dibuka ketika Seonung mencetak dua gol ketika bertemu Kuching City FC dalam aksi Liga Super 2023 pada 12 Mei dan jaringan itu semakin berharga apabila dia menjadi watak utama menghadiahkan kemenangan pertama buat skuad Seladang ketika awal musim liga.

Selain tajam di hadapan pintu gol lawan, pemain kelahiran Korea Selatan itu mempamerkan aksi cukup bersemangat untuk mendapatkan bola dan mampu memberi tekanan kepada benteng pertahanan pasukan lawan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram