
KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) mengesahkan bahawa sehingga kini masih tiada sebarang perjumpaan dilakukan antara Pesuruhjaya Sukan (PSJ), Suhardi Alias dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) selepas sudah seminggu perang dingin antara dua perbadanan tersebut.
Timbalannya, Adam Adli Abd. Halim berkata, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh juga sudah menggesa agar MOM serta PSJ segera melakukan perbincangan agar kemelut berkenaan segara selesai dan berharap berita baik daripada pertemuan berkenaan.
“Meeting belum berlaku namun perkara ini sudah pun diberitahu oleh YB (Yang Berhormat) Hannah yang mana PSJ dan MOM sudah diminta untuk adakan perbincangan.
“Perbincangan ia penting untuk menghuraikan masalah terutamanya pasukan yang mewakili negara dalam sukan temasya di bawah MOM. Perlu ada persefahaman antara badan induk dengan MOM,” katanya.
Adam Adli ditemui ketika Majlis Pelepasan Pasukan Esports Profesional Malaysia Ke Mobile Legends: Bang Bang M5 World Championship 2023 di Parlimen pada Isnin.
Menurut Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu, agensi kerajaan juga sukar untuk membantu sekiranya MOM dan Suhardi masih enggan mencari jalan penyelesaian.
Suhardi merupakan Pesuruhjaya Sukan Malaysia. — Agensi
“Jika tiada pertemuan diadakan, agensi kerajaan tidak dapat bantu. Kita harap ada berita baik daripada perbincangan berkenaan.
“Ada jalan keluar cuma semua pihak kena duduk bersama, kita akan adakan perbincangan lebih mendalam antara pemegang taruh,” jelasnya.
Kemelut antara MOM dan PJS bermula apabila tular menerusi aplikasi WhatsApp klip audio berdurasi satu minit 20 saat memetik Suhardi mengugut membatalkan pendaftaran MOM.
Rakaman perbualan itu dipercayai dibuat ketika perjumpaan antara Suhardi dan dua kumpulan mewakili kelompok pucuk pimpinan e-sukan berhubung pendaftaran dan keahlian antarabangsa sebuah badan induk sukan berkenaan pada 14 November lalu.
Terdahulu, MOM dilaporkan ingin mengemukakan bantahan rasmi kepada Hannah susulan tindakan Suhardi yang dilaporkan mengancam untuk membatalkan pendaftaran MOM, baru-baru ini.
Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menyifatkan kenyataan sedemikian adalah satu tindakan yang tidak wajar daripada Suhardi kerana status MOM selaku badan payung persatuan sukan kebangsaan dijamin dalam Akta Pembangunan Sukan 1997. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram