Konsert Hrithik Roshan di SNBJ sah ditangguhkan


  • Podium
  • Isnin, 27 Nov 2023

Selain Hrithik, konsert itu bakal membariskan artis hebat lain seperti Malaika Aurora, Kanika Kapoor, Sanya Malhotra, Vaani Kapoor dan Prabhu Deva. — Facebook/Yessbossgroup

KONSERT artis Bollywood, 'Hrithik Roshan Stars On Fire Kuala Lumpur' yang sepatutnya diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jumaat ini sah ditangguhkan.

Acara tersebut menjadi perhatian peminat bola sepak menjelang seminggu perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 melibatkan Johor Darul Takzim (JDT) dan Terengganu FC yang dijadualkan pada 8 Disember.

Penganjuran konsert Coldplay yang diadakan minggu lalu mengundang persoalan mengenai mutu rumput baru jenis Zeon Zoysia yang ditanam.

WhatsApp Image 2023-11-27 at 19.49.41

Tangkap layar hantaran tersebut. — Facebook/Yessbossgroup

Yessboss Groups menerusi media sosial penganjur acara berkenaan mengumumkan perkembangan konsert yang turut membariskan artis hebat lain seperti Malaika Aurora, Kanika Kapoor, Sanya Malhotra, Vaani Kapoor, Prabhu Deva, Aastha Gill, Maarshi dan Bharti.

"Dukacita kami maklumkan bahawa acara yang dinanti-nantikan, 'Hrithik Roshan Stars On Fire Kuala Lumpur' yang dijadualkan pada 1 Disember 2023, telah ditangguhkan disebabkan keadaan yang tidak dapat dielakkan.

"Keputusan ini diambil dengan persetujuan dan pertimbangan bersama dalam kalangan penganjur iaitu Yessboss Groups, Dembi Productions, dan Heart Art Production Pvt Ltd.

"Kami bakal memaklumkan penetapan tarikh baru dengan artis-artis yang terlibat," maklum mereka.

Dalam pada itu, Yessboss Groups turut memohon maaf atas kesulitan yang berlaku dan bakal mengembalikan wang pembelian tiket kepada penonton.

"Kami memahami kesulitan yang timbul dan dengan ikhlas memohon maaf atas sebarang gangguan kepada rancangan anda.

"Berikutan penangguhan acara ini, kami telah menyusun semula proses pemulangan wang dengan kerjasama agen tiket kami.

"Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan atau kebimbangan mengenai proses pemulangan wang, sila hubungi pasukan sokongan pelanggan agen tiket kami di [email protected] atau melalui telefon di +6011-2186-8055/ +6011-2146-6055," tambahnya. — Stadium Astro

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram