Sivasangari rangkul gelaran juara kedua, kali ini takluk Hong Kong


  • Podium
  • Sabtu, 25 Nov 2023

Kemenangan itu adalah gelaran juara kedua Sivasangari pada tahun ini selepas menjuarai Kejohanan Piala Tuanku Mukhriz pada Ogos lepas. — HK Skuasy

RATU skuasy negara, S. Sivasangari melakar kejayaan membanggakan selepas menjuarai Kejohanan Skuasy Terbuka Kelab Bola Sepak Hong Kong pada Sabtu.

Sivasangari, pemain ranking ke-22 dunia hanya memerlukan 34 minit bagi menundukkan wakil Mesir, Amina Orfi yang merupakan Juara Dunia Remaja 2022 dan 2023 dengan keputusan 11-9, 11-8, 11-5.

Lebih manis, ia merupakan gelaran juara kedua Sivasangari pada tahun ini selepas menjuarai Kejohanan Piala Tuanku Mukhriz pada Ogos lepas.

"Sepanjang minggu ini saya rasa sedikit gementar pada pusingan pertama ... saya rasa tidak selesa tetapi setiap hari permainan saya bertambah baik dan membawa kemajuan.

"Saya amat gembira terutamanya dapat mengatasi pemain berbakat seperti (Amina)," kata atlet kelahiran Sungai Petani, Kedah itu menerusi klip audio dikongsikan Persatuan Skuasy Profesional (PSA) di laman X.

Sementara itu, hasrat jaguh skuasy lelaki negara, Ng Eain Yow untuk melakar kejayaan sama pada kejohanan itu tidak kesampaian apabila tewas di tangan wakil Mesir Aly Abou Eleinen.

Eain Yow yang menghuni ranking ke-21 dunia itu dipaksa bermain empat set dan tewas dengan keputusan 6-11, 11-5, 7-11, 7-11. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram