[VIDEO] Gara-gara layang satu kad merah, muka pengadil liga kampung habis lebam dipukul


  • Podium
  • Ahad, 26 Nov 2023

Tangkap layar penyokong dan pemain menyerang pengadil sewaktu perlawanan liga kampung berlangsung di Sulawesi Utara.

KEJOHANAN bola sepak mini antara kampung di Kotamobagu, Sulawesi Utara, Indonesia dicemari kekecohan apabila pemain dan penonton memasuki padang dan memukul pengadil perlawanan.

Menurut Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Kotamobagu, Inspektor Ahmad Anugrah Ari Pratama, insiden berkenaan berlaku selepas pemain dan penyokong tidak puas hati dengan keputusan pengadil yang melayangkan satu kad merah.

Difahamkan perlawanan berkenan adalah melibatkan pasukan Bintang Muda Matalai dan Persin Sinindian namun pihak berkuasa masih belum dapat memastikan pihak manakah yang menyerang pengadil berkenaan.

Perlawanan tersebut difahamkan berlangsung di Padang Desa Motobio Kecil, Daerah Kotamobagu Selatan, Kota Kotamobagu pada Khamis (16 November 2023) dan kejohanan itu dianjurkan oleh BMR Motoboi Kecil Cup 2023.

Ahmad Anugrah bagaimanapun enggan membuat spekulasi mengenai punca pertembungan itu namun berdasarkan maklumat antara Bintang Muda Matalai dan Persin Sinindian, peminat segera bertindak masuk ke padang sehingga memukul pengadil.

"Jadi ia bermula apabila salah satu pasukan sama ada Persin Sinindian atau Bintang Muda Matalai mendapat kad merah, saya tidak boleh katakan secara pasti, kemudian penyokong mereka kecewa dengan pengadil.

"Kemudian, mereka mengejar pengadil dan memukul mereka. Kejadian semakin tegang sehingga berlaku rusuhan," jelasnya.

Disebabkan kejadian ini, pengadil yang mengetuai perlawanan mengalami lebam di muka dan penyokong serta para pemain juga segera ditenangkan oleh pasukan keselamatan di lokasi tersebut.

“Satu-satunya data yang kami ada ialah pengadil yang didakwa dipukul di muka,” akhirinya.

Dalam video yang tular di media sosial, kelihatan beberapa penyokong pasukan berkenaan memasuki padang perlawanan dan kelihatan pegawai keselamatan masuk ke padang untuk campur tangan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram