[VIDEO] Standard Arif Aiman naik kerana dikelilingi pemain senior


  • Podium
  • Ahad, 26 Nov 2023

Arif Aiman merupakan pemain muda tanah air yang semakin berada di kelasnya tersendiri. — Facebook/JDT

RESIPI kejayaan sesebuah pasukan pasti memerlukan pemain-pemain berkualiti yang mana mereka akan memainkan peranan untuk memberi persembahan cemerlang bagi membantu kelab mencapai keputusan ataupun objektif dingini.

Ada yang membuat ukuran bahawa bagi mendapatkan pasukan dengan gelaran ‘dream team’ adalah mengumpul semua pemain berpengalaman dalam sesebuah kelab dan dari situ ia akan membantu mereka mendapatkan pelbagai kejuaraan demi kejuaraan.

Namun tidak kurang juga ada kelab mengambil Inisiatif memberi peluang kepada barisan ubi muda dan akhirnya mempertaruhkan bakat muda tersebut untuk saingan dalam pentas besar dalam negara seperti beraksi dalam Liga Super.

Menjadi persoalan, sejauh mana pasukan yang menggunakan khidmat pemain muda akan dapat berjuang sehingga ke akhir liga dengan mencapai keputusan-keputusan membanggakan sehingga merebut gelaran juara?

Bekas pengendali skuad bola sepak kebangsaan, mendiang B Sathianathan mempunyai pandangan peribadi mengenai pembentukan sebuah pasukan yang mempunyai keyakinan untuk menggunakan semua khidmat pemain muda.

Bekas Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) itu teguh berpendirian bahawa kelab yang mempertaruhkan pemain-pemain muda akan bergelut untuk mencapai kejuaraan mereka.

WhatsApp Image 2023-11-26 at 15.53.21

Arif Aiman (tiga dari kiri) bersama rakan sepasukannya di JDT. — Facebook/JDT

“Kalau awal cakap dengan saya, coach dalam Liga Super ini, saya bagi awak pemain-pemain muda dan dalam tiga tahun, esok coach akan jadi juara. Saya tak percaya boleh buat macam itu.

“Satu pasukan adalah gabungan antara senior dan junior. Ada yang pengalaman dua hingga tiga tahun, yang ini jadi ramuan untuk jadi juara. Kalau awak tanya semua senior, susah nak jadi juara. Tak pernah ada pasukan begitu,” katanya dalam satu temu bersama media tempatan sebelum ini.

Video berkenaan dikongsi semula oleh legenda Kelantan, Mohd Badhri Radzi atau Piya dengan kapsyen senada dengan kenyataan Sathianatan iaitu ubi muda perlu banyak beraksi bersama pemain senior.

Dalam video berkenaan juga menunjukkan bahawa bekas jurulatih Selangor FC Itu meletakkan penyerang sayap Johor Darul Takzim (JDT), Arif Aiman Hanapi sebagai contoh terbaik pemain yang semakin meningkat baik di Malaysia.

“Saya pasti macam Arif Aiman, standard dia naik kerana pemain-pemain senior yang kelilingi dia, kalau dia tiada pemain senior bemutu tunggu ataupun daripada banyak segi, tak mungkin dia jadi pemain macam dia sekarang,” katanya.

Jika diperhatikan, Arif Aiman berpeluang beraksi bersama dengan beberapa pemain berpengalaman bola sepak tanah air seperti Farizal Marlias, Safiq Rahim dan Aidil Zafuan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram