Gara-gara Malaysia tewaskan negara jiran di Sukan SEA, pelajar Malaysia pernah diugut bunuh


  • Podium
  • Jumaat, 24 Nov 2023

Pasukan Harimau Malaya bergelar juara sekali gus meraih pingat emas dalam Sukan SEA 2011. — Agensi

MENANG kalah adat pertandingan, itulah ungkapan yang biasa digunakan mengenai sesuatu keputusan pelbagai bentuk pertandingan, perlawanan, perlumbaan dan kejohanan dan peperangan.

Berbeza pula cerita di bumi Indonesia apabila seorang pelajar negara itu mengambil tindakan berani untuk membuat ugutan bunuh kepada pelajar Malaysia.

Kira-kira 12 tahun lalu, rasa kecewa berikutan kekalahan pasukan Indonesia pada perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA Ke-26 yang diadakan di Palembang dan Jakarta dikenal pasti motif utama seorang mahasiswa Universiti Padjadjaran, Bandung mengugut mahu membunuh pelajar Malaysia yang menuntut di negara tersebut.

Bagaimanapun, pelajar terbabit dilaporkan menyerah diri di Balai Polis Jati Nangor, Bandung dan ditahan untuk siasatan lanjut pihak berkuasa negara itu.

Sukan Sea 2011 1

Sebahagian momen ketika pemain skuad kebangsaan meraikan kemenangan menewaskan Indonesia. — Agensi

Ketika itu, suspek yang tidak didedahkan identitinya sebelum itu menemui Ahli Jawatankuasa Persatuan Kebajikan Pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) Cawangan Bandung untuk memohon maaf secara terbuka sebelum dinasihatkan menyerah diri bagi membantu siasatan.

Atase Pendidikan di Kedutaan Malaysia, Ludinata Misnun ketika mengesahkan perkara itu, pihak kedutaan menyerahkan kepada Polis Republik Indonesia (POLRI) menjalankan siasatan berhubung kes ugutan itu, termasuk mengambil tindakan susulan ke atas pelajar terbabit.

Dilaporkan, PKPMI Cawangan Bandung memaklumkan kepada kedutaan, suspek ada menemui mereka untuk meminta dikumpulkan semua pelajar Malaysia bagi memohon maaf secara terbuka berikutan atas ugutan dilakukan, seterusnya meredakan keadaan.

Komuniti pelajar Malaysia di Universiti Padjadjaran, Bandung dilaporkan gempar selepas menerima ugutan bunuh oleh rakan pelajar mereka dari Indonesia yang tersebar melalui laman sosial, Twitter.

Dalam hantaran tersebut pelajar tersebut menulis, "Saya akan membunuh pelajar Malaysia di yang melanjutkan pelajaran Universiti Padjadjaran''.

Meskipun hanya dikongsikan di Twitter dan belum ada kesahihan ketika itu, kejadian itu mendapat tumpuan kerana berlaku tidak sampai dua minggu kes pelajar perubatan Malaysia di Universiti Barawijaya, Malang (Jawa Timur) mati ditetak penjenayah yang cuba melarikan motosikalnya.

Bagaimanapun, kes tersebut selesai apabila suspek akhirnya menyerah diri dan siasatan polis mendapati suspek tiada niat untuk membunuh sesiapa sebaliknya ia hanyalah untuk melepaskan kekecewaan terhadap kekalahan pasukan Indonesia kepada Malaysia.

Dalam perlawanan akhir tersebut ketika itu, Malaysia meraih kemenangan dramatik menerusi sepakan penalti dengan keputusan 4-3 selepas terikat 1-1 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram