SUKAN Asia 2022 sudah melabuhkan tirainya pada Oktober lalu namun sehingga kini nama-nama wira dan wirawati yang sudah berjuang demi mendengar lagu ‘Negaraku’ berkumandang di bumi Hangzhou masih meniti di bibir setiap penyokong sukan tanah air.
Kontinjen Malaysia yang menamatkan saingan di tangga ke-14 daripada 45 negara berhasil membawa pulang 32 pingat secara keseluruhannya, sekali gus melepasi sasaran 27 pingat sebelum mereka berlepas ke Hangzhou.
Salah satu atlet yang masih menjadi cakap-cakap orang ramai berikutan momen bersejarahnya ketika membantu negara merangkul pingat emas dalam sukan karate kategori kumite lelaki bawah 84 kilogram (kg) ialah Muhammad Arif Afifuddin Ab. Malik.
Atlet berusia 24 tahun itu tular kerana kesungguhan terus bertarung walaupun mengalami kecederaan di bahagian mata selepas lawannya menumbuk kuat mata kanannya ketika cuba membuat serangan balas dengan berbaki 15 saat sebelum pertarungan tamat.
Walaupun nampak gagah di luar, Muhammad Arif bagaimanapun akui perasaan takut menyelebungi dirinya kerana risau jika mata sebelah kanannya tidak akan berfungsi susulan tumbukan kuat daripada atlet Kazakhstan, Daniyar Yuldashev.
Keadaan Muhammad Arif sebelum mata sebelah kanannya mengalami kecederaan. — Bernama
“Masa tumbukan itu saya terus terus terduduk. Saya tutup mata kiri, memang tak nampak apa-apa walau saya dah buka mata kanan. Masa itu memang dah takut. Doktor dan cek semua dan saya dengar jurulatih beritahu teruskan sahaja.
“Saya sambung perlawanan dengan penglihatan belah kiri saja. Masa itu memang susah nak fokus tapi terus dengar arahan coach. Sebab sikit lagi nak menang dan saya nak menang sangat. Sebab saya tahu saya dah leading banyak. Mata sekarang dah okay, hanya berdarah sikit,” katanya kepada Majoriti.
Muhammad Arif meraih kejayaan tersebut selepas menewaskan Yuldashev dengan keputusan 10-4 dan bertambah indah apabila kejayaannya merupakan pingat emas pertama Malaysia dalam acara tersebut sepanjang penyertaan Sukan Asia sejak edisi 1994 di Hiroshima, Jepun.
Atlet berketinggian 1.83 meter (m) itu juga tidak menyangka dapat merangkul pingat berikutan sebulan sebelum Sukan Asia, Muhammad Arif mengalami kecederaan belakang dan rusuk yang dialaminya ketika kem latihan di Tunisia.
“Perasaan saya tak pasti nak cakap macam mana ketika menang itu. Satu benda yang saya pasti ialah terkejut dan terkesima. Saya tak jangka benda itu jadi. Saya memang terus telefon ibu bapa saya. Masa itu mereka nak datang tapi sebab saya tahu kualiti saya tengah tak okay sebelum Asian Games. Saya cakap lain kali saja datang, saya tak nak kecewakan mereka. Tapi silap pula.
“Saya cedera sebulan sebelum Sukan Asia. Saya cedera low back di Tunisia. Memang tak boleh pusing, susah buat teknik dan buat latihan intense. Kiranya saya kurang latihan dan banyak rehab. Lepas dua minggu dah okay.
“Tapi masa saya balik dari Tunisia, kena sepak pula oleh senior dekat rib semasa latihan. Rib saya koyak dan selama dua minggu tak latihan. Saya hanya latihan satu ke dua hari dan terus terbang ke China untuk Sukan Asia,” jelasnya.
Muhammad Arif (dua, kiri) selepas berjaya meraih pingat emas dalam perlawanan menentang atlet dari Kazakhstan Daniyar Yuldashev (kiri). — Bernama
Selain daripada insiden kecederaan sebelum Sukan Asia, atlet kelahiran Pulau Pinang itu juga berkongsi pernah berputus asa daripada sukan yang diminatinya sejak empat tahun itu kerana ditimpa kecederaan anterior cruciate ligament tear (ACL) ketika kemuncak kariernya.
Kecederaan tersebut terjadi ketika penuntut Universiti Pertahananan Nasional Malaysia (UPNM) dalam bidang sains sukan itu dalam persiapan untuk ke Sukan Sea Filipina 2019 apabila Muhammad Arif sekali lagi beraksi dalam kesakitan namun berhasil membawa pulang pingat perak dalam acara kumite bawah 67 kg lelaki.
Menurutnya, dia hanya melakukan proses pemulihan biasa sepanjang lapan bulan dan bertahan demi mengharumkan nama di Sukan Sea 2019, selepas dia selesai dengan tugas negara itu barulah Muhammad Arif melakukan pembedahan ACL.
“Paling besar masa 2019 itu memang saya tengah dalam peak performance. Sebelum nak sahkan kedudukan saya di Sukan Sea, saya kena lawan dalam kejohanan Sea Karate. Berapa hari sebelum pertandingan saya cedera lutut. memang dah bengkak. Tapi sebab saya nak bertanding bagi dapat slot di Sukan Sea, saya teruskan.
“Doktor tak bagi saya bertanding sebab dah bengkak. Saya latihan saja dan tiga hari sebelum saya rehat dan lepas itu terbang ke Thailand. Masa itu teruk sangat hingga tak dapat nak buat teknik tapi manage untuk dapat emas.
Muhammad Arif sebelum pembedahan ACL.
"Lepas pertandingan saya cek dengan doktor dan disahkan saya ada ACL. Masa itu memang down teruk dan dah boleh agak habislah karier saya. Saya nak berhenti tapi sokongan keluarga buat saya nak sambung.
"Doktor suruh buat rehab atau bedah. Buat rehab banyak komplikasi, bengkak balik lepas itu sakit balik. Saya pilih rehab untuk enam bulan lepas itu masuk kejohanan kecil-kecil dalam Malaysia. Kecederaan hampir setiap minggu sehinggalah Sukan Sea. Masa Sukan Sea memang saya balut semua dan nasib baik dapat pingat perak. Lepas Sukan Sea baru saya buat pembedahan," tambahnya.
Segala pengorbanan Muhammad Arif itu sememangnya membuahkan hasil selepas pelbagai penghargaan diterimanya dan kini dia menjadi sasaran Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) untuk mempertahankan pingat emas yang didapatnya itu apabila temasya Sukan Asia kembali di Nagoya, Jepun pada 2026. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram