SELANGOR FC berhasrat mengekalkan khidmat pemain sayapnya, Faisal Halim untuk tempoh yang panjang selepas tampil dengan prestasi memberangsangkan sejak menyertai skuad Gergasi Merah itu musim ini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, ketika ini perbincangan pelanjutan kontrak antara kelab dan Faisal yang lebih mesra disapa "Mickey” sedang berlangsung.
"Mickey adalah pemain penting untuk Selangor, kami mahu menyimpan pemain yang terbaik, kami gembira dengan Mickey dan beliau juga bersama Selangor.
"Jadi kami harap dapat melanjutkan kontraknya selama yang mungkin,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Selangor dan Citadel Group Technologies di Pusat Latihan Persatuan Bolasepak Selangor, Shah Alam pada Jumaat.
Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Presiden FAS berkenan berangkat ke majlis itu.
Johan (dua dari kiri) ketika majlis menandatangani MoU antara Selangor FC dengan Citadel Group Technologies. — Facebook/Selangor FC
Pada masa sama, susulan khabar angin yang mengaitkan pemain skuad Harimau Malaya berusia 25 tahun itu ke Johor Darul Takzim (JDT) musim depan, Johan berkata, Faisal ketika ini komited untuk membantu Selangor menamatkan musim ini dengan pencapaian terbaik.
"Beliau adalah pemain Selangor untuk selama mana yang beliau mahukan,” katanya.
Mickey menyertai Selangor daripada Terengganu FC musim ini dengan nilai perpindahan yang tidak dinyatakan dan menjadi antara watak utama membantu juara Piala Malaysia terbanyak itu untuk berada di kedudukan kedua Liga Super, berbaki tiga perlawanan musim ini.
Setakat ini, pemain tersebut sudah mengumpul 11 gol dalam kempen Liga Super dan menjaringkan satu gol dalam saingan Piala FA musim ini.
Faisal juga merupakan pemain utama dalam skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan-gon yang melakar deretan keputusan positif sepanjang tahun ini. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram