Otai 'sound', jangan memandai-mandai bebankan Arif Aiman wakil Harimau Muda di Piala Asia B-23


  • Podium
  • Jumaat, 24 Nov 2023

Arif Aiman (jersi kuning) diminta oleh penyokong untuk mewakili Malaysia di Piala Asia B-23. — Facebook/FAM

NASIB Malaysia di kejohanan Piala Asia bawah 23 tahun (B-23) 2024 telah pun diketahui pada Khamis.

Skuad kendalian Juan Torres Garrido diletakkan dalam kumpulan D bersama-sama Uzbekistan, Vietnam dan Kuwait dengan kejohanan akan diadakan di Qatar pada 15 April hingga 3 Mei 2024.

Sasaran dalam kejohanan kali ini adalah untuk mara sehingga separuh akhir. Hal ini kerana, jika berhasil maka Harimau Muda akan memperoleh tempat di Sukan Olimpik 2024 yang akan diadakan dekat Paris, Perancis.

Mencongak peluang skuad negara untuk mara, legenda bola sepak kebangsaan iaitu Datuk Jamal Nasir berasakan Harimau Muda berada dalam kumpulan sukar tetapi tidaklah seteruk dialami Indonesia.

Untuk rekod, Indonesia diletakkan dalam kumpulan A bersama-sama tuan rumah iaitu Qatar, Australia serta Jordan.

"Pada saya, kumpulan yang agak sukar tapi tidaklah sesukar kumpulan negara lain. Kalau kita mampu menang dengan Vietnam dan Kuwait, kita akan ada peluang.

"Vietnam kita sudah selalu jumpa, Kuwait pun sudah tidak sehebat ketika di zaman saya walaupun kita tidak pernah jumpa. Cuma Uzbeskitan sahaja tidak diketahui kekuatan mereka. Tetapi saya boleh katakan kita ada peluang (untuk mara)," kata Jamal kepada Majoriti.

Jamal turut berpendapat penyokong tidak perlu membanding-bandingkan kekuatan skuad B-23 dengan Harimau Malaya yang kini cemerlang hasil kepimpinan Kim Pan-gon.

Menurutnya, Harimau Muda masih lagi dalam proses merangkak tetapi harapnya akan mampu jadi jaguh seperti skuad senior.

Usai undian dilakukan, terdapat cakap-cakap oleh penyokong mahukan bintang Johor Darul Takzim (JDT), Arif Aiman dipanggil untuk membantu Harimau Muda di Qatar.

401369247_1045332486539987_4293234872582612634_n

Arif Aiman (jersi kuning) menghasilkan tiga bantuan gol ketika bertemu Republik Kyrgyz. — Facebook/FAM

Tapi pada hemat Jamal tindakan itu tidak perlu kerana ia akan membebankan pemain tersebut. Untuk rekod, Arif akan turun bersama Harimau Malaya untuk aksi berganda (double header) kelayakan Piala Dunia 2026-Piala Asia 2027 menentang Oman pada Mac 2024.

"Kita tak boleh terlalu bebankan dia dengan pelbagai kejohanan sebab skuad senior nanti ada perlawanan menentang Oman pada Mac.

"Kalau boleh, biarlah kita hasilkan lebih ramai Arif Aiman. Caranya dengan memberikan peluang kepada pemain lain menyinar dalam skuad B-23. Arif ini bakatnya sudah di tahap skuad senior, kalau dia kembali ke skuad B-23 ia akan menutup peluang pemain muda yang lain," jelas Jamal.

Piala Asia B-23 2024 akan menyaksikan empat wakil Asia Tenggara mengambil bahagian iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand dan Vietnam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram