PEMAIN Besiktas, Donjeta Halilaj, mencuri tumpuan dalam aksi derbi liga wanita Turkiye ketika menentang Fenerbahçe apabila mencetak gol 'luar biasa' dalam perlawanan yang berlangsung pada Isnin.
Aksi pemain kelahiran Kosovo itu bukan sahaja menjadi bualan penyokong tetapi turut mencetuskan kontroversi terhadap pengadil perlawanan yang membenarkan gol tersebut.
Menerusi satu rakaman video yang tular, kontroversi itu bermula apabila penjaga gol Fenerbache sedang memegang bola dan mahu membuat hantaran kepada rakan sepasukan selepas menyelamatkan percubaan daripada pihak lawan.
Namun Halilaj yang tiba-tiba muncul dari belakang penjaga gol terbabit terus menanduk bola tersebut menggunaka sebelum pemain berusia 23 tahun itu membuat rembatan menuju ke pintu gawang lawan.
Ketika itu, Fenerbahce sedang mendahului dengan keputusan 3-1 dan mereka terpaksa akur dengan keputusan pengadil apabila dibolosi oleh gol pelik itu pada minit-minit akhir.
Malah, kelihatan beberapa pemain Fenerbahce dilihat membuat bantahan berikutan gol pelik itu, pengadil bagaimanapun mengekalkan keputusan itu selain melayangkan kad kuning kepada salah seorang pemain pasukan tersebut.
Meskipun pengadil membenarkan jaringan tersebut, Fenerbahce bagaimanapun berjaya menewaskan Besiktas dengan keputusan akhir 3-2.
Keputusan pengadil tersebut mencetuskan persoalan dalam kalangan penyokong sama ada gol itu patut dibenarkan atau tidak.
Legenda Brazil dan Barcelona, Ronaldinho juga pernah melakukan perkara yang sama tetapi jaringannya dibatalkan.
Malah legenda Arsenal, Thierry Henry juga menerima nasib sama ketika aksi di Liga Perdana Inggeris apabila jaringannya dibatalkan kerana 'merampas' bola dari tangan penjaga gol. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram