Anggap The Rhinos 'turning point' karier, Jafri Chew nak 'pikat' Pan-gon


  • Podium
  • Selasa, 21 Nov 2023

Jafri Chew sewaktu beraksi bersama pasukan negara. — Agensi

SEJAK membuat keputusan untuk meninggalkan tanah kelahirannya, Pulau Pinang pada penghujung musim lalu, Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew akhirnya mendapat sinar baharu dalam kariernya apabila namanya kian disebut-sebut penyokong Sabah FC.

Selepas dua musim menabur bakti bersama Penang FC, Jafri Chew akhirnya keluar dari zon selesa dengan merantau ke negeri Sabah bagi menyertai skuad The Rhinos dan bersatu semula bersama mentornya, Datuk Ong Kim Swee yang sebelum ini melatihnya ketika mewakili skuad muda Malaysia.

Walaupun hampir setahun bersama Sabah FC namun pemain berusia 26 tahun itu juga menjadi antara tonggak yang diminati penyokong The Rhinos kerana kebolehannya beraksi di pelbagai posisi seperti bek kanan dan penyerang.

Bekas pemain Kedah itu juga sendiri tidak menyangkal bahawa kelab berpangkalan di Borneo tanah air berkenaan membantunya bernafas semula dalam dunia bola sepak domestik selepas setelah lama tidak meraih tumpuan penyokong.

"Saya pun rasa Sabah jadi turning point karier saya dengan berhijrah ke sini. Dapat peluang yang jurulatih bagi. Sebelum ini pun di Penang saya tukar ke main right back.

"Awal-awal memang bek kanan di Sabah tapi bila coach Ong (Ong Kim Swee) nampak nak perlukan pemain lagi, saya tukar ke striker," katanya kepada Majoriti ketika ditemui selepas perlawanan Sabah menang ke atas Kelantan FC.

jafri

Jafri Chew ketika aksi menentang Kelantan dalam aksi Liga Super pada Isnin. — Facebook/SabahFC

Penyerang berketinggian 1.75 meter itu mencatat nama antara penjaring dalam perlawanan Liga Super yang menyaksikan The Rhinos berpesta gol menewaskan Kelantan FC 7-0 di Stadium UiTM Shah Alam, Selangor pada Isnin.

Enam gol lagi dicetak oleh Farhan Roslan dan Rizal Ghazali pada minit ke-29 dan 39, pada babak kedua pula Irfan Fazail, Telmo Castanheira, Ramon serta S.Kumaahran turut mencipta nama sebagai penjaring dalam aksi itu.

Susulan prestasi semasanya yang tampil sering mempamerkan persembahan cemerlang dan setakat ini sudah mencetak tiga jaringan gol untuk The Rhinos, ada cakap-cakap ingin melihat Jafri Chew kembali beraksi bersama Harimau Malaya.

"Wakili harimau malaya memang impian setiap pemain di Malaysia tapi saya rasa saya belum layak. Cuma akan bekerja keras untuk dapatkan tempat dalam national team," tambahnya.

Dalam perkembangan berbeza, Jafri Chew juga mendedahkan akan kekal bersama The Rhinos walaupun ada ura-ura mengatakan bahawa Kim Swee yakni gurunya itu akan meninggalkan Sabah FC pada musim depan.

"Saya tak pasti akan ikut jejak langkah OKS sebab ada baki kontrak lagi dengan Sabah hingga tahun depan. Mana-mana coach yang datang pun saya akan kerja dengan jurulatih itu tapi kita tengok macam mana," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram