KETUA jurulatih skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara, Juan Torres Garrido, menegaskan tidak akan ada keistimewaan buat mana-mana pemain untuk membarisi pasukannya.
Setiap pemain yang dipanggil perlu bekerja keras membuktikan kredibiliti dan kemampuan masing-masing jika berhasrat untuk menyarung jersi negara di pentas Piala Asia B-23 tahun di Qatar April depan, lapor Stadium Astro.
Beliau turut mengesahkan seramai 23 pemain secara rasmi telah melaporkan diri untuk hari pertama kem latihan pusat pada Isnin sementara pemain tengah Kuala Lumpur City, T. Saravanan diberikan pelepasan seketika atas urusan peribadi.
"Jika terdapat pemain yang tidak dapat memberikan yang terbaik, terdapat daripada antara mereka yang mampu mengisi kekosongan dalam kesebelasan utama," katanya menerusi Nadi Arena.
"Fokus, bersedia untuk fasa latihan. Kami perlu membentuk semangat yang kuat dalam pasukan, keserasian daripada setiap aspek bagi menghadapi Piala Asia B-23 tahun hadapan," katanya lagi.
Juan Torres dalam perkembangan sama menyambut baik kehadiran penolongnya, Shukor Adan yang mula menyertai kem kejurulatihan skuad muda negara pada Isnin.
Pengendali kelahiran Sepanyol itu percaya, kelibat Shukor mampu memberi nilai tambah terbaik untuk kelangsungan pembangunan pasukan pelapis negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram