PERASAAN sedih menyelebungi penyokong Selangor FC selepas penyerang prolifik mereka, Ayron del Valle dilaporkan akan kembali ke tanah airnya selepas dikaitkan dengan perpindahan ke kelab divisyen satu Colombia pada jendela perpindahan nanti.
Berdasarkan ciapan dari pengamal media negara Amerika Selatan berkenaan, penjaring terbanyak Gergasi Merah pada musim ini tersebut difahamkan sudah bersetuju untuk berhijrah ke Atletico Bucaramanga dengan menandatangi kontrak selama dua musim.
Penyokong Gergasi Merah semakin berat hati untuk melepaskan pemain berusia 34 tahun itu memandangkan sumbangannya pada musim ini yang meledak 21 jaringan untuk Gergasi Merah dalam 23 perlawanan Liga Super dia diturunkan.
Bukan itu sahaja, Ayron juga berkemungkinan akan mengukir senyuman penyokong Gergasi Merah apabila namanya disebut-sebut bakal merangkul Anugerah Kasut Emat pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2023 (ABK 2023) pada Disember nanti.
Dengan pelbagai kejayaan yang dilakar oleh penyerang Colombia itu dalam tempoh setahun bersama Selangor FC, pasti sukar untuk menemui pengganti yang boleh menandingi jumlah rekod gol dan sumbangannya dalam memperkukuh jentara serangan Gergasi Merah.
Namun, pada akhirnya setiap pemain mempunyai keputusan masing-masing dan Selangor FC juga pastinya sedang mencari-cari penyerang berbisa untuk menggantikan Ayron pada musim depan yang dijangka akan lebih memberi cabaran.
Kali ini, Majoriti mencadangkan tiga penyerang berkualiti yang boleh dipertimbangkan kelab berpangkalan di Lembah Klang itu bagi saingan musim 2024 yang akan bermula pada April:
1) Marco Perez
Perez pernah jadi rakan sepasukan Ayron di Independiente Medellin. — Facebook/SelangorFC
Bekas rakan sepasukan Ayron di Independiente Medellin pada musim 2013, Marco Perez antara pilihan teratas untuk dibawa masuk oleh Selangor jika melihat kepada data jaringan golnya bersama kelab divisyen satu Colombia, Rionegro Aguila.
Pemain berusia 33 tahun itu kembali selepas hampir enam bulan berehat dan kehadirannya nyata menggugat penyerang lain apabila kini dia mendahului sebagai penjaring terbanyak liga dengan 13 jaringan gol daripada 18 aksi dia diturunkan untuk saingan dalam Liga Dimayor II 2023.
Tidak dapat dinafikan usianya agak lanjut untuk seorang pemain bola sepak namun sejarah Selangor FC yang sering mengambil pemain berusia seperti Richmond Boakye pasti bukan menjadi masalah untuk merekrut Perez untuk mengemudi jentera serangan.
Malah, tonggak import dari Colombia pasti membuahkan hasil dan tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri di saingan Liga M seperti Ayron dan pemain tengah, Yohandry Orozco yang memberi hantaran bantuan terbanyak iaitu 10 assist untuk Gergasi Merah.
2) Anderson Lopes
Lopes mencetak 21 gol dalam 32 aksi liga untuk Yokohama. — Agensi
Penyerang dari negara samba sinonim dengan Liga Malaysia dan kebanyakannya mempunyai kualiti apabila tiba di tanah air dan antara peledak Brazil yang menerima pengiktirafan Anugerah Kasut Emas ialah pemain Johor Darul Takzim (JDT), Bergson da Silva.
Justeru itu, tidak keterlaluan untuk mencadangkan Anderson Lopes yang kini beraksi cemerlang dengan menjadi penjaring terbanyak untuk pasukan divisyen satu Jepun (J-League), Yokohama F. Marinors dengan 21 gol dalam 32 aksi liga.
Dengan kontrak pemain berusia 30 tahun itu akan tamat pada 31 Januari ini bersama Yokohama, Selangor FC tidak perlu bersusah payah mengeluarkan wang yang banyak untuk membawa masuk bekas tonggak FC Seoul berkenaan ke Gergasi Merah.
Untuk rekod, Lopes bukan sekadar jaguh dalam saingan Liga Jepun, malah dia pernah menunjukkan kualitinya di saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim 2021/22 dengan mencetak tiga jaringan gol dalam empat penampilan.
3) Yuma Suzuki
Yuma diberi kepercayaan untuk menjadi ketua pasukan Kashima. — Instagram/Yuma
Penyerang sensasi Liga Jepun yang mewakili Kashima Antlers iaitu Yuma Suzuki menjadi satu-satunya pemain Asia boleh dipertimbangkan oleh Selangor FC untuk dibawa masuk sebagai tonggak baharu pada saingan 2024.
Pemain berusia 27 tahun ini tersenarai dalam lima penjaring terbanyak Liga Jepun musim ini dengan data menunjukkan dia sudah mencetak 13 jaringan dan lima hantaran bantuan dalam 31 aksi liga dia diturunkan bersama Kashima Antlers.
Fakta menarik mengenai penyerang berketinggian 1.82 meter itu, Yuma pernah dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) ACL 2018 di selepsa memainkan peranan penting dalam membantu Kashima untuk mendapatkan kejuaraan buat kali pertama kejohanan tertinggi Asia tersebut.
Malah, kehadiran bintang sensasi bola sepak Jepun, Keisuke Honda berada di Pusat Latihan Selangor FC, di Shah Alam pada Februari lalu juga berkemungkinan sebagai langkah kanan untuk membawa masuk Yuma ke Gergasi Merah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram