Ada sejarah benam HM, pemain 'otai' Chinese Taipei bakal jadi mimpi ngeri anak buah KPG


  • Podium
  • Isnin, 20 Nov 2023

Antara aksi perlawanan di antara Chinese Taipei dan Oman pada Khamis. — AFC

MALAYSIA kembali dalam satu lagi percubaan untuk memungut mata maksimum saingan Piala Dunia apabila turun menentang Chinese Taipei pada Selasa di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Dengan peluang untuk ke Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico pada 2026 dilihat terbuka, skuad kendalian Kim Pan-gon perlu menepis cabaran daripada Republik Kyrgyz, Chinese Taipei dan Oman untuk mara ke pusingan seterusnya dalam kelayakan Piala Dunia 2026 yang turut menawarkan tempat ke Piala Asia 2027.

Chinese Taipei bukanlah sebuah negara yang sering kita hadapi. Namun begitu, Harimau Malaya tidak boleh leka dengan mereka dan perlu menentang sehabisnya demi mendapatkan tiga mata.

Dalam analisis ringkas Majoriti kali ini, kita akan menyingkap tiga pemain paling bahaya Chinese Taipei yang perlu diberikan perhatian:

1. Ange Samuel Kouame

Kalau Malaysia ada Mohamadou Sumareh, Chinese Taipei juga memiliki pemain naturalisasi mereka iaitu Ange Samuel Kouame yang kini beraksi bersama Tainan City.

Individu berusia 26 tahun itu merupakan Pemain Paling Bernilai (MVP) musim lalu dan penjaring terbanyak liga dengan 20 gol.

Sejak 2018, Ange telah menjuarai Liga Taiwan selepas empat musim berturut-turut bersama dua kelab berbeza.

Di pentas antarabangsa, Ange telah menjaringkan tiga gol dan dua bantuan gol (assist) dalam tiga perlawanan Piala AFC musim ini.

Memulakan debut bersama Chinese Taipei pada 8 September 2023, pemain kelahiran Ivory Coast itu sudah menjaringkan dua gol dalam empat perlawanan.

2. Chun-Ching Wu

Antara pemain senior dalam skuad nasional Chinese Taipei, Chun-Ching Wu mempunyai pengalaman beraksi menentang skuad kebangsaan pada 2018.

Ketika itu, Ching Wu berjaya membantu Chinese Taipei menewaskan Harimau Malaya dengan keputusan 0-2 di hadapan ribuan penyokong sendiri.

Musim ini bersama Tainan City, Ching Wu telah beraksi dalam 17 perlawanan dan merekodkan satu jaringan dan satu assist.

Sebelum ini, Ching Wu mempunyai pengalaman yang luas dalam kariernya selepas beraksi di China dan Thailand sebelum kembali ke negara kelahirannya itu.

Screenshot 2023-11-19 at 18-07-26 Yao-Hsing Yu - Google Search

Yao-Hsing Yu (nombor sembilan) merupakan tonggak utama Chinese Taipei. — Agensi

3. Yao-Hsing Yu

Pemain muda meningkat naik Chinese Taipei, Yao-Hsing Yu pasti akan memberi sedikit ancaman buat skuad kebangsaan menjelang pertemuan pada Selasa ini.

Meskipun berusia 21 tahun, Yao-Hsing Yu telah beraksi dalam 14 perlawanan liga dan hanya merekodkan satu gol serta satu assist.

Walaupun tidak mempunyai rekod cemerlang seperti pemain lain, Yao-Hsing Yu tetap menjadi pilihan ketua jurulatih skuad nasional selepas untuk mengetuai barisan serangan Chinese Taipei meskipun belum dinobatkan sebagai penjaring terbanyak liga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram