KEMPEN Kelayakan Piala Dunia 2026 menyaksikan kesemua negara di rantau Asia Tenggara berentap dengan lawan masing-masing untuk mendapatkan mata berharga.
Meskipun ada di antara mereka yang meraih kemenangan, ada juga yang terpaksa menelan kekecewaan dalam aksi pembukaan sepanjang minggu lalu.
Antara yang mengalami kekalahan ialah Singapura apabila mereka terpaksa akur dengan kehebatan gergasi bola sepak Asia, Korea Selatan.
Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Piala Dunia Seoul pada Khamis, tuan rumah yang dikendalikan Jurgen Klinsmann memilih untuk menurunkan kesebelasan utama terbaik.
Ini termasuk memilih untuk memulakan kapten pasukan, Son Heung-min yang menampilkan persembahan cukup baik dengan meraih satu gol pada babak kedua permainan.
The challenge on Sonny:#COYS #THFC
— Chris Cowlin (@ChrisCowlin) November 16, 2023
Sumbangan tersebut menyaksikan skuad Taeguk Warriors mencatatkan kemenangan 5-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan C Kelayakan Piala Dunia 2026.
Bagaimanapun, bintang Tottenham Hotspur tersebut menimbulkan kegusaran apabila dia mengalami kecederaan sehingga menyebabkannya berguling dan memegang kaki kanannya.
Lebih menarik lagi, sekeping foto tersebar di media sosial memaparkan pemain berusia 31 tahun itu terbaring dengan kelihatan bekas pemain Johor Darul Takzim (JDT), Hariss Harun berada di sebelahnya.
Perkara tersebut digembar-gemburkan lagi apabila wartawan ternama, Fabrizio Romano turut menggunakan gambar berkenaan untuk menceritakan mengenai keadaan Heung-min di laman media sosial.
Hal itu menyebabkan sebahagian besar peminat bola sepak berasakan Hariss yang mengakibatkan kecederaan akan pemain Korea Selatan berkenaan.
Hariss Harun merupakan pemain JDT untuk beberapa tahun dengan pelbagai kejayaan diraihnya.
Namun, laporan media antarabangsa mendapati situasi itu bukanlah berpunca daripada kapten skuad Singapura berkenaan apabila rakan sepasukannya, Shah Shahiran merupakan individu bertanggungjawab.
Kecederaan terbabit dilaporkan berlaku akibat bentesan lewat Shah terhadap Heung-min yang bagaimanapun gagal mencuri bola daripada penyerang Korea Selatan berkenaan.
Hariss kemudiannya difahamkan berada di lokasi kejadian dengan peranannya untuk memastikan rakan senegaranya tersebut tidak dikenakan tindakan berat daripada pengadil.
Kehadiran pemain Lion City Sailors itu dilihat memberi kelebihan apabila Shah hanya diberikan kad kuning meskipun bentesan yang dilakukannya boleh dianggap sebagai satu kesalahan berat.
Tetapi, kecederaan tersebut difahamkan tidak begitu serius apabila pemain Liga Perdana Inggeris (EPL) terbabit dilihat dapat berjalan dengan normal selepas wisel penamat ditiupkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram