PENYERANG berbisa Harimau Malaya, Arif Aiman Hanapi adalah individu yang terlibat dalam kesemua empat gol yang dihasilkan skuad kebangsaan pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 pada Khamis.
Meskipun ia merupakan perlawanan kelayakan Piala Dunia pertamanya, pemain sayap itu bagaimanapun dilihat tidak menunjukkan sebarang kebimbangan malah bersemangat untuk membenam Kyrgyzstan.
Dalam perlawanan penuh dramatik di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pemain Johor Darul Takzim (JDT) itu dilihat menggelecek pemain lawan dan berlari dengan kelajuan yang menakjubkan setiap kali dia menguasai bola.
Dalam pada itu, Arif dinobatkan sebagai pemain terbaik dalam kalangan penyokong tanah air apabila dia membantu keempat-empat gol untuk memastikan Harimau Malaya menewaskan Kyrgyzstan dengan keputusan 4-3.
Tendangan sudut pemain berusia 21 tahun itu membawa kepada dua jaringan yang berjaya disudahkan oleh Dion Cools pada minit ketujuh dan ke-77.
Malah, kesilapan benteng pertahanan Kyrgyzstan, Khristiyan Brauzman menjaringkan gol sendiri pada minit ke-72 adalah hasil hantaran lintang kanan daripada Arif sendiri.
Lebih menarik lagi, Arif yang dibantu dengan gerakan Endrick dos Santos membolehkan dia melorongkan bola kepada Faisal Halim yang menyudahkannya untuk gol kemenangan negara pada minit-minit akhir.
Arif mengakui ketika permainan 1-3, dia memutuskan untuk memberikan yang terbaik dan menggunakan sifat terbaiknya untuk memenangi perlawanan tersebut untuk Malaysia.
“Sebagai penyerang, anda perlu sentiasa bergerak, berdaya usaha. Menggelecek adalah sebahagian daripada permainan saya. Jika saya tidak mempunyai itu, saya tiada gunanya untuk bermain di atas padang.
“Saya tidak dapat memikirkan apa-apa apabila kami dibolosi tiga kali tetapi sokongan daripada penyokong dan jurulatih membantu kami untuk lebih bersemangat.
"Pada masa yang sama, saya tidak percaya kami boleh bangkit menentang pasukan yang mempunyai ranking lebih tinggi daripada kami. Kemenangan itu penting bagi kami kerana ia adalah perlawanan pertama untuk kelayakan. Kami juga memikirkan kedudukan dunia juga," katanya.
Kapten pasukan kebangsaan, Matthew Davies turut memuji Arif dan pemain pertahanan, Cools kerana menjadi pemangkin kepada kemenangan Malaysia.
“Kami mengawal permainan pada separuh masa pertama tetapi hilang fokus dalam lima minit terakhir. Tetapi apabila kami mendapat gol kedua, kami rasa kami boleh menang dan akhirnya kami mendapat kemenangan yang sepatutnya.
“Saya amat berbangga dengan Arif dan Cools atas sumbangan mereka dan kepada semua pemain yang sudah bekerja keras untuk pasukan," ujarnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram