Suka sejarah bola sepak Kedah, ex-coach JDT hampir selangkah jadi pengendali Sang Kenari


  • Podium
  • Jumaat, 17 Nov 2023

Gomez membawa Harimau Selatan merangkul kejuaraan Liga Super 2015 dan juara Piala AFC 2015. — Facebook/JDT

PENGENDALI kelahiran Argentina, Mario Gomez mula dikenali oleh peminat bola sepak tanah air selepas dia mengendalikan kelab bola sepak gergasi Malaysia, Johor Darul Takzim (JDT) pada 2015.

Jurulatih itu berjaya menunjukkan pencapaian yang baik seawal musim pertamanya bersama Harimau Selatan apabila membawa pasukan merangkul kejuaraan Liga Super 2015 dan turut mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai juara Piala AFC 2015.

Selepas dipecat pada awal musim 2017, namanya sekali lagi meniti dibibir peminat bola sepak tanah air namun dengan penyokong kelab berbeza apabila Kedah pernah mempertimbangkan untuk mendapatkan Gomez pada saingan 2018.

Bedasarkan laporan media pada 29 November 2017, pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) ketika itu difahamkan sudah menghubungi Gomez dan membuat tawaran kepadanya untuk membimbing skuad Hijau Kuning.

Malah, bekas pengendali Borneo FC itu juga berminat untuk kembali ke bola sepak Malaysia dan mengesahkan bahawa dia menerima secara lisan tawaran daripada kelab berpangkalan di Utara tanah air berkenaan.

WhatsApp Image 2023-11-17 at 14.38.11

Aksi Kedah ketika tewas 0-2 di tangan JDT pada Piala Malaysia 2017. — Agensi

“Saya kini menunggu keputusan dan jawapan seterusnya daripada Kedah, seperti yang telah kita bincangkan dua hari lalu dan saya tidak mempunyai sebarang masalah dengan kontrak yang ditawarkan.

“Cuma kami tidak membincangkan secara terperinci tetapi saya telah memberitahu mereka bahawa saya menerima angka gaji yang dicadangkan,” katanya memetik laporan media tempatan pada enam tahun lalu.

Ketika itu, KFA sedang mencari jurulatih bagi menggantikan Mohd Nidzam Adzha Yusoff yang secara terbuka menyatakan Kedah perlu mencari jurulatih lebih berpengalaman selepas tewas 2-0 kepada JDT pada perlawanan akhir Piala Malaysia musim 2017.

“Saya berminat untuk melatih Kedah kerana mereka adalah pasukan yang penuh dengan sejarah, dan sentiasa bersaing untuk merebut kejuaraan, dan mereka mempunyai rancangan,” kata Gomez yang turut mendedahkan bahawa dia tidak menerima sebarang tawaran lain selain daripada Hijau Kuning.

Bagaimanapun, hasrat untuk menyaksikan Gomez membimbing Kedah tidak terlaksana dan Ramon Marcote dipilih untuk melatih pasukan berkenaan bagi musim 2018. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram