Kami mahu bawa pulang 3 mata ke Malaysia — Corbin Ong


  • Podium
  • Ahad, 19 Nov 2023

Sumbangan Corbin Ong pastinya akan terus ditagih sepanjang kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027. — Facebook/FAM

MOMENTUM cemerlang perlu diteruskan pasukan negara sekiranya mereka mahu meneruskan rentak kemenangan dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Setelah meraih kemenangan penting ke atas Kyrgyzstan pada Khamis lalu, Harimau Malaya pastinya mahu terus mengumpul mata dalam Kumpulan D.

Jadi, aksi berdepan Chinese Taipei pada Selasa ini pastinya dianggap cukup penting dalam merealisasikan impian untuk meneruskan prestasi cemerlang itu.

Pasukan Asia Timur berkenaan sebelum ini mengalami kekalahan 0-3 dalam aksi pembukaan menentang Oman yang meletakkan mereka di kedudukan tercorot kumpulan.

Selain itu, lawan mereka itu nanti juga berada di kedudukan ke-152 dunia yang cukup jauh berbanding Harimau Malaya yang kini menduduki tangga ke-137.

401335782_1045383363201566_6791719220850793893_n

Harimau Malaya membuka tirai kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dengan kemenangan. Facebook/FAM

Jadi, perkara terbabit pastinya menjadi satu kelebihan dari segi moral terhadap skuad kendalian Kim Pan-gon untuk membawa pulang tiga mata penuh.

Hasrat untuk meraih kemenangan turut dilaungkan bek kiri negara, Corbin Ong yang enggan menerima kekalahan melihat kepada kualiti Harimau Malaya.

"Saya percaya pasukan ini tahu kualiti tersendirinya dan kegagalan untuk membawa pulang tiga mata akan dirasakan seperti kekecewaan.

"Kami juga yakin kami mampu meraih tiga mata walaupun kami tahu bahawa Chinese Taipei adalah pasukan kuat, kami akan mendapatkan mata penuh dan membawanya pulang," katanya seperti dilaporkan Astro Arena.

404109382_1046946603045242_9007308865468285404_n

Pasukan negara kini sedang menjalani latihan untuk aksi menentang Chinese Taipei pada Selasa. Facebook/FAM

Tidak boleh dinafikan bahawa Corbin Ong ketika ini merupakan pertahanan kiri terbaik negara meskipun usianya sudah mencecah 32 tahun.

Ia dibuktikan dengan kepercayaan penuh yang diberikan Pan-gon terhadap pemain warisan tersebut yang boleh dianggap sebagai nadi utama pasukan negara.

Pemain Johor Darul Takzim (JDT) itu juga dijangka akan berada dalam skuad akhir Harimau Malaya yang bakal bersaing dalam Piala Asia bermula Januari depan.

Skuad kebangsaan bakal berdepan Chinese Taipei dalam aksi yang dijadualkan di Stadium Perbandaran Taipei sebagai perlawanan kedua dalam kempen kelayakan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram