SELEPAS mempamerkan persembahan cemerlang pada musim 2022 dengan menghuni kedudukan keempat saingan Liga Super dengan 41 kutipan mata, Negeri Sembilan FC (NSFC) tahun ini seakan-akan hilang taring untuk tampil menjadi pesaing terkuat kepada pasukan lain.
Setelah mengharungi 23 perlawanan Liga Super setakat ini, skuad Jang berada di tangga ke-10 liga dengan hanya memungut 21 mata, selain tersingkir di peringkat suku akhir Piala FA dan Piala Malaysia 2022.
Ada juga yang mengatakan bahawa masalah tunggakan gaji melanda pasukan itu menjadi faktor kemerosotan prestasi sehingga ada laporan mengatakan bahawa beberapa pemain skuad Hobin Jang Hobin tidak turun menjalani latihan.
Malah, ketua jurulatih NSFC, K Devan juga pernah mengesahkan bahawa pasukan bimbingannya menghadapi masalah gaji namun beliau yakin pengurusan kelab terbabit akan dapat menyelesaikan masalah berkenaan.
Tidak cukup dengan masalah gaji, ada juga laporan dari pemerhati bola sepak tanah air yang mengatakan bahawa jurulatih Devan akan beralih angin ke pasukan Utara tanah air selepas tamat musim 2023.
Masalah dalaman Negeri Sembilan FC difahamkan masih belum menemui jalan penyelesaian. — Facebook/NSFC
Menerusi ciapan dari T. Avineshwaran, legenda negara, Datuk Zainal Abidin Hassan dikaitkan bakal menggantikan Devan sekiranya beliau benar-benar berhijrah ke Penang FC pada musim depan.
“Nampaknya Datuk Zainal Abidin Hassan akan pergi ke Negeri Sembilan untuk musim akan datang, manakala K. Devan akan berpindah ke utara, membimbing Pulau Pinang,” tulisnya pada ciapan di platform X pada Jumaat.
Bekas pengendali Pahang itu bagaimanapun menafikan laporan mengatakan beliau akan mengendalikan skuad Jang dan sebaliknya menegaskan masih setia menjadi Pengarah Teknikal Imigresen FC.
“Mana ada khabar angin. Saya tak dengar apa-apa dan tak tahu apa-apa mengenai perkara ini. Buat masa ini saya masih dengan Imigresen. Mungkin ia hanya 'rumours',” katanya ringkas kepada Majoriti.
Selepas meninggalkan Penang FC pada tahun lepas, Zainal Abidin aktif menjadi pundit dan beliau juga diberi kepercayaan untuk menjadi orang kuat Imigresen FC yang menjadi juara Liga M3 musim ini.
Bekas penyerang Harimau Malaya itu bukan nama asing dalam dunia kejurulatihan saingan Liga Super berikutan beliau pernah melatih Selangor FC dan Melaka United FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram