DEBARAN semakin terasa apabila Harimau Malaya akan memulakan misi penting untuk meraih kemenangan kedua dalam kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 apabila berdepan Chinese Taipei di Stadium Perbandaran Taipei, Taiwan pada Selasa.
Pastinya perlawanan kedua menentang Chinese Taipei di hadapan ribuan penyokong lawan sesuatu perkara yang tidak mudah buat anak-anak buah Kim Pan-gon.
Ini kerana dalam 12 perlawanan terakhir Harimau Malaya menentang Chinese Taipei, skuad kebangsaan tewas ke semua perlawanan setiap kali bertandang ke stadium lawan.
Dengan bimbingan Pan-gon bersama Harimau Malaya semakin menunjukkan peningkatan positif, pastinya mudah untuk skuad kebangsaan menewaskan Chinese Taipei.
Namun adakah anda tahu, 12 tahun lalu bekas kapten skuad kebangsaan, Aidil Zafuan pernah menggegarkan gawang gol Chinese Taipei menerusi satu sepakan percuma ala-ala legenda Brazil, Roberto Carlos.
Dalam perlawanan itu, Safiq Rahim dikasari oleh pemain lawan seawal minit keenam sekali gus mendapat sepakan percuma daripada pengadil.
Meskipun peluang untuk menjaringkan gol itu dilihat sangat tipis, namun sepakan deras yang dilakukan Aidil itu singgah ke dalam gawang gol pasukan lawan sekali gus mendiamkan suara ribuan penyokong tuan rumah yang hadir ke stadium.
Sepakan yang dilakukan oleh Aidil itu mirip legenda Brazil, Roberto Carlos semasa menentang Perancis dalam perlawanan Piala Dunia 1997.
Namun begitu, perlawanan itu tidak menyebelahi skuad kebangsaan, apabila pulang dengan hampa selepas tewas dengan keputusan 2-3 sekali gus gagal membawa pulang tiga mata bagi kelayakan Piala Dunia 2014. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram