[VIDEO] Dipantau orang kuat KDA FC, penyerang prolifik Kyrgyztan 'tadah tangan' dilamar ke Liga M


  • Podium
  • Sabtu, 18 Nov 2023

Kojo telah menjaringkan dua gol daripada lima penampilan bersama Republik Kyrgyz. — Instagram/JoelKojo

WALAUPUN Kyrgyzstan tewas 3-4 di tangan Malaysia pada perlawanan sulung Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur pada Khamis, namun pujian wajar diberikan kepada skuad The White Falcons.

Pasukan pelawat yang terlebih dahulu mendapat kelebihan dengan dua jaringan terpaksa akur tewas pada babak akhir perlawanan susulan kebangkitkan skuad kebangsaan selepas pertukaran pemain dilakukan oleh Kim Pan-gon.

Beberapa pemain skuad kendalian Stefan Tarkovic sememangnya mendapat tumpuan penyokong bola sepak tanah air sebelum perlawanan bermula susulan rekod cemerlang mereka bersama kelab.

Antara yang mencuri perhatian ialah penyerang naturalisasi daripada Ghana iaitu Joel Kojo dan salah seorang individu berpengaruh berminat dengan peledak berusia 25 tahun itu ialah penyelaras kelab Kedah Darul Aman (KDA) FC, Joe Rozi atau nama sebenarnya Zul Fadzli Roz.

Orang kanan Nafuzi Zain itu sebelum ini memuat naik ciapan di laman Twitter peribadinya, Joe Razi jelas memberi gambaran bahawa dia sudah tidak sabar untuk menonton aksi berkenaan dengan Joel bakal diperhatikannya.

Bercakap mengenai kualitinya sehingga menarik perhatian kelab domestik tanah air, bintang divisyen dua kelab Uzbekistan, Dinamo FC itu tidak menolak untuk bermain di Liga Malaysia (Liga M) sekiranya mendapat tawaran.

WhatsApp Image 2023-11-17 at 18.12.27

Joel membantu Dinamo FC menghasilkan 11 gol serta tiga bantuan jaringan dalam 17 perlawanan dia diturunkan. — Instagram/JoelKojo

“Saya hanya buat kerja saya. Ia boleh terjadi pada bila-bila masa. Saya tak kisah dimana saya bermain, jika ada kelab nak. Tiada masalah.

“Ia bergantung jika ada tawaran, saya hanya buat kerja saya. Saya tak tahu banyak pasal liga di Malaysia tapi saya dengar Liga M okay dan kebanyakan pemain Afrika main di sini,” katanya kepada Majoriti ketika ditemui selepas aksi Malaysia menentang Kyrgyztan pada Khamis.

Dalam pada itu, bercakap mengenai perlawanan menentang Harimau Malaya, Joe memuji semangat yang ditunjukkan barisan skuad kebangsaan dan tidak menyangka anak-anak buah Pan-gon berhasil mengubah keputusan permainan.

Dua daripada jaringan skuad kebangsaan terhasil menerusi bek tengah kebangsaan, Dion Cools yang mencetak pada minit ke tujuh dan 77’ dengan kedua-duanya hadir daripada sepakan penjuru.

Kesilapan pemain Kyrgyzstan, Khristiyan Brauzman menjaringkan gol sendiri pada minit ke-72 menambah tonik tambahan kepada Harimau Malaya dan akhirnya Bukit Jalil bergema dengan sorakan penyokong apabila menyaksikan jaringan babak akhir perlawanan dari penyerang sayap, Faisal Halim.

“Saya boleh cakap ia adalah perlawanan yang menarik, semua pemain beri tentangan hebat untuk aksi ini tapi sayangnya bila kami tak boleh kekalkan dengan kemenangan awal kami. Tapi ia adalah perlawanan yang menarik.

“Mereka (Malaysia) buat yang terbaik. Bermain di laman sendiri beri kelebihan, mereka bermain untuk penyokong, bermain untuk negara. Saya ucap tahniah untuk fighting spirit mereka hingga habis masa,” jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram