[VIDEO] Kalah dengan HM, tapi wajah tampan No.17 tawan hati penyokong wanita Malaysia


  • Podium
  • Jumaat, 17 Nov 2023

Alykulov pernah menerima Anugerah sebagai ‘Footballer of The Year’ untuk Kyrgyzstan pada 2020.

‘SAMBIL menyelam minum air’, demikian peribahasa sesuai menggambarkan sikap sesetengah penyokong wanita yang teruja menyaksikan perlawanan Harimau Malaya menentang Kyrgyzstan namun pada masa sama dihidangkan dengan wajah-wajah kacak pemain lawan.

Walaupun Kyrgyzstan tewas 4-3 di tangan Malaysia pada perlawanan sulung Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur pada Khamis namun pemain mereka memenangi hati penyokong Wanita.

Menyoroti ruang komen di media sosial, segelintir peminat memuji ketampanan pemain-pemain skuad The White Falcons itu dan satu nama yang banyak menerima pujian menggunung ialah tonggak berjersi 17 iaitu Alykulov Gulzhigit.

“Pemain Kyrgyzstan hensem-hensem lah. Semangat tengok mereka main,” kata penyokong, Tasya.

“Kalah tidak apa, penting banyak kacak semua. Paling minat yang nombor 17. Muka macam pelakon,” tambah penyokong, Ziey Mien.

Selain memberi senyuman kepada penyokong wanita kerana memiliki wajah 'jambu’, aksi cemerlang Alykulov dałam memainkan peranannya sebagai sayap kiri juga mendapat respons positif daripada pengikut bola sepak tanah air.

Alykulov yang baru berusia 22 tahun itu antara pemain muda meningkat naik di tanah airnya apabila pada jendela perpindahan Ogos lalu, dia baru sahaja berhijrah ke kelab divisyen satu Liga Belarusia iaitu Neman Grodno dan berpeluang debut di kelayakan Europa Conference League (UECL).

Selain debut UECL, Alykulov tidak menunggu lama untuk menunjukkan kualitinya dengan mencetak dua jaringan gol dan empat hantaran bantuan dalam 12 aksi Liga Vysheyshaya dia diturunkan.

Perpindahannya ke kelab Eropah itu tercetus selepas pemain kacak itu memberikan persembahan berkualiti bersama Kairat Almaty iaitu kelab divisyen satu Kazakhstan dengan membantu pasukannya memenangi Kazakh Champion (2019/20) dan Kazakh Cup Winner pada musim 2020/21.

Berdasarkan laman Transfermarkt juga, Alykulov juga pernah menerima Anugerah sebagai ‘Footballer of The Year’ untuk negaranya pada 2020 dan pengiktirafan tersebut diterima pada usia 19 tahun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram