HARIMAU Malaya menambah satu memori indah buat penyokong yang hadir di Stadium Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur pada Khamis selepas berhasil menundukkan Kyrgyzstan dengan keputusan 4-3 dalam aksi pembukaan Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
Kejayaan berhasil mengutip tiga mata penuh di laman sendiri itu jelas menambah keyakinan untuk skuad kebangsaan tampil lebih cemerlang dalam aksi seterusnya menentang Chinese Taipei di tempat lawan pada 21 November nanti.
Bek tengah negara, Dion Cools tampil menjaringkan dua gol dengan kedua-duanya hadir daripada sepakan penjuru (6’, 77’) dan pemain Kyrgyzstan, Khristiyan Brauzman menjaringkan gol sendiri pada minit ke-72.
Manakala, jaringan kemenangan Harimau Malaya dicetak oleh penyerang sayap, Faisal Halim apabila tampil menjaringkan gol pada masa kecederaan perlawanan menerusi hantaran bantuan dari Arif Aiman Hanapi.
Lebih 17,000 penyokong yang hadir ke Bukit Jalil menyaksikan kemenangan penuh dramatik itu tidak dapat dinafikan antara faktor skuad kebangsaan berhasil bangkit menumbangkan lawan di kedudukan ranking ke-97 dunia itu.

Pan-gon berhasil memberi kemenangan ke atas Malaysia dalam aksi pertama Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027. — Facebook/FAM
Perkara itu diakui sendiri oleh pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon yang menyifatkan 17,000 penyokong yang hadir memberikan sokongan adalah turning point skuad kebangsaan bangkit daripada ketinggalan daripada 1-3.
Pada masa sama, jurulatih dari Korea Selatan itu juga nyata kecewa dengan jumlah penyokong yang hadir kerana ia tidak memenuhi jangkaannya jika melihat kepada kapasiti Stadium Nasional Bukit Jalil itu mampu memuatkan lebih 80,000 penyokong.
“Semestinya saya cemburu. Saya sentiasa bercakap dengan kawan saya di Korea. Saya tidak pernah tengok penyokong di Korea 17,000 datang ke stadium. Tapi malam ini hanya ada 17,000 orang. Semestinya saya hargai 17,000 orang yang datang tapi kita ada kapasiti 80,000.
“Kalau crowd final di Korea pastinya 75,000 ke 80,000 orang. Tapi 17,000 penyokong malam ini adalah sokongan terbaik untuk pemain. Itu adalah turning point. Saya rasa penyokong adalah turning point malam ini,” katanya memetik pada petikan video MakanBola ketika dalam sidang akhbar selepas perlawanan.
Jika melihat kepada situasi Korea Selatan dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 di Stadium Piala Dunia Seoul, difahamkan lebih daripada 66,000 penyokong hadir menyaksikan kemenangan 5-0 mereka ke atas Singapura pada Khamis. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
