Ex-striker JDT sah jadi ejen bebas, bakal jadi rebutan Penang, Sabah dan Selangor


  • Podium
  • Jumaat, 17 Nov 2023

Rodriguez sudah menjaringkan 17 gol dan empat assist dalam 40 perlawanan sejak menyarung jersi Laskar Sambernyawa. — Agensi

TIDAK boleh dinafikan bahawa kehadiran pemain import merupakan antara elemen penting untuk menyemarakkan lagi suasana kancah bola sepak tanah air.

Meskipun terdapat sebilangan daripada mereka yang kurang menyerlah, ada juga yang boleh dikatakan memiliki karier cukup baik dalam tahun-tahun perkhidmatan masing-masing dalam Liga Super.

Salah seorang yang boleh diletakkan dalam kategori itu ialah bekas penyerang Johor Darul Takzim II, Fernando Rodriguez yang baru meninggalkan kelab Indonesia, Persis Solo untuk mencari cabaran baharu selepas lebih satu tahun di negara itu.

Ia sudah tentu mengejutkan penyokong bola sepak di Indonesia kerana prestasi Rodriguez bersama Persis Solo boleh dikatakan amat memberangsangkan setakat ini.

Dalam 15 perlawanan terakhir musim ini, penyerang kelahiran Sepanyol itu berjaya menjaringkan tujuh gol bersama Persis Solo.

Secara keseluruhannya penyerang berusia 36 tahun itu, sudah menjaringkan 17 gol dan empat bantuan jaringan (assist) dalam 40 perlawanan sejak menyarung jersi Laskar Sambernyawa.

Sudah pun menamatkan kontrak, Majoriti senaraikan tiga pasukan wajar buru khidmat Rodriguez untuk mempertajamkan serangan pasukan masing-masing pada musim depan:

Ramon Machado

Machado pastinya menjadi tumpuan banyak pasukan selepas tampil cemerlang bersama Sabah. MFL

1. Sabah FC

Sabah FC berisiko kehilangan penyerang utamanya iaitu Ramon Machado dan Darren Lok selepas mereka beraksi baik musim ini di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee.

Jika salah seorang daripada pemain itu meninggalkan pasukan, Rodriguez mungkin calon paling sesuai selepas dia sudah membuktikan kredibilitinya selaku penyerang berbisa dalam Liga Malaysia.

Dengan pihak pengurusan Sabah dilihat lebih cenderung untuk menjimatkan kantung kewangan pasukan musim depan, Rodriguez pastinya jalan terbaik buat mereka kerana boleh didapati secara percuma.

Boakye (kanan) dikritik hebat oleh penyokong-penyokong Selangor.

2. Selangor FC

Tinggal selangkah untuk menjamin tempat ke pentas Asia musim depan, Selangor wajar memburu Rodriguez yang sudah terbukti dalam Liga Malaysia bersama Kedah Darul Aman FC dan JDT II.

Tidak terhenti di situ, kini Rodriguez menjadi bualan penyokong Indonesia yang kagum dengan prestasinya meskipun baru beraksi di Indonesia.

Umum mengetahui, penyerang import Selangor, Richmond Boakye kini mendapat kritikan daripada penyokong-penyokong Gergasi Merah dengan aksi hambarnya bersama pasukan itu.

Dengan status ejen bebas, ini peluang Tan Cheng Hoe untuk mengintai khidmat Rodriguez bagi memperkuatkan barisan serangan musim depan.

Sony Saad

Sonny dikhabarkan akan dipancing oleh sebuah pasukan gergasi Liga Malaysia musim depan. Facbook/Penang FC

3. Penang FC

Penang FC merehatkan ketua jurulatih, Chong Yee Fatt, dan penolong jurulatih, Manzoor Azwira Abdul Wahid, sehingga penghujung musim ini, demikian diumumkan kelab itu dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Ia jelas memberikan petanda buat seluruh pasukan Liga M bahawa mereka akan kembali dengan lebih kuat musim depan apabila bakal melakukan rombakan besar-besaran.

Sudah sekian lama tidak mempunyai penyerang berbisa, Rodriguez mungkin menjadi salah seorang import terbaik yang boleh dimiliki Penang FC.

Sejak dua musim kebelakangan ini, pihak pengurusan lebih gemar mencari pemain import dari Asia Barat namun tidak dapat memuaskan hati penyokong-penyokong Harimau Kumbang.

Dengar rekod tujuh gol dalam 15 perlawanan, Rodriguez mungkin menjadi solusi buat Penang untuk memecahkan kebuntuan barisan serangan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram