AKSI penuh dramatik adalah situasi sesuai menggambarkan kebangkitan Harimau Malaya selepas menang 4-3 ke atas Kyrgyzstan pada perlawanan sulung Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur pada Khamis.
Harimau Malaya pada pada awalnya mengecewakan penyokong tanah air apabila ketinggalan 1-3 namun berkat mentaliti juara barisan pemain, skuad kebangsaan berjaya bangkit meledak tiga gol penting di babak kedua untuk mengutip tiga mata berharga.
Dua daripada jaringan skuad kebangsaan terhasil menerusi bek tengah kebangsaan, Dion Cools yang mencetak pada minit ke tujuh dan 77’ dengan kedua-duanya hadir daripada sepakan penjuru.
Kesilapan pemain Kyrgyzstan, Khristiyan Brauzman menjaringkan gol sendiri pada minit ke-72 menambah tonik tambahan kepada Harimau Malaya dan akhirnya Bukit Jalil bergema dengan sorakan penyokong apabila menyaksikan jaringan babak akhir perlawanan dari penyerang sayap, Faisal Halim.
Sebilangan kecil penyokong skuad 'The White Falcons' yang hadir ke gelanggang keramat Harimau Malaya itu sudah bersorak seakan-akan perlawanan sudah selesai apabila pemain gantian Kai Merk mencetak jaringan ketiga pada minit ke-57.

Cools dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan selepas mencetak dua jaringan gol untuk Malaysia. — Facebook/FAM
Namun kegembiraan penyokong Kyrgyzstan tidak bertahan lama apabila Kim Pan-gon mengubah percaturan permainan dengan membuat pertukaran dengan membawa masuk Endrick Dos Santos, Paulo Josue dan Muhammad Akhyar Abdul Rashid dalam usaha mengubah rentak permainan dan kedudukan.
Tidak pasti apa yang ‘dibasuh’ Pan-gon dalam bilik persalinan ataupun ketika sesi latihan namun pengendali dari Korea Selatan itu berhasil menghapus badi skuad kebangsaan daripada sering bolos pada minit akhir kepada bangkit menumpaskan pasukan lawan.
Jika diimbau satu perlawanan di bawah kendalian Tan Cheng Hoe pada musim 2021, Harimau Malaya tewas 1-4 kepada Indonesia pada perlawanan terakhir Kumpulan B di Stadium Nasional Singapura bagi saingan Piala AFF 2020.
Dalam perlawanan itu, Malaysia terlebih dahulu mencetak jaringan daripada Kogileswaran Raj namun gagal mengawal rentak permainan sehingga skuad Garuda mudah menjaringkan empat gol dan mengesahkan kemenangan mereka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
