PELUMBA motosikal CKJ Racing Team, Izzat Zaidi Md. Salehan kini dilaporkan sudah sedar tetapi masih menggunakan alat bantuan pernafasan dan dalam pantuan doktor.
Menerusi perkongsian isterinya, Elysha Norizal dalam Instagram, Izzat kini dalam proses pemantauan rapi oleh pihak hospital dan masih bergantung pada ubat-ubatan.
"Kemas kini untuk 13 November.
"Alhamdulillah Izzat dah sedar sepenuhnya, tapi masih guna alat bantuan pernafasan dan juga setiap beberapa jam bernafas secara sendiri.
"Izzat masih 'on antibiotic' dan keadaannya semakin bertambah baik," katanya dalam Instagram.
Sebelum ini, Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) membuka siasatan menyeluruh berkenaan insiden kemalangan yang menimpa pelumba muda negara itu.
Izzat yang mewakili pasukan CKJ Racing Team terlibat dalam kemalangan sewaktu sesi Superpole di Litar Bandar Medini, Johor.
Pasukan CKJ mengesahkan bahawa Izzat terlibat dalam insiden tersebut selepas jentera Yamaha yang dipacunya melanggar pengadang jalan dan terbabas ke pagar keselamatan yang terletak di tepi litar.
Akibat insiden tersebut, Izzat terpaksa dikejarkan ke hospital dan disahkan mengalami patah tulang rusuk kiri dan pendarahan pada bahagian paru-paru. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram