PENYERANG Harimau Malaya, Darren Lok enggan menjadikan amanat Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin sebagai tekanan memuncak untuk melunaskan misi tiga mata penuh berdepan Kyrgyzstan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Khamis ini.
"Setiap perlawanan Malaysia ada tekanan, namun kami bakal berdepan Piala Asia Januari dan perlawanan kelayakan ini amat penting.
"Berdasarkan barisan lawan yang bakal dihadapi, kami mampu mendapatkan keputusan yang positif dan mahu memastikan ia berjaya dilakukan kerana amat penting buat kami," kata Darren menerusi Nadi Arena.
Terdahulu, Hamidin dalam sidang media pada Isnin menegaskan saingan Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 lebih jadi keutamaan buat FAM berbanding Piala Asia di Qatar Januari depan, lapor Stadium Astro.
Ini kerana skuad bimbingan Kim Pan-gon bakal memperoleh lebih banyak manfaat sekiranya layak ke pusingan akhir Kelayakan Piala Dunia.
Bukan sahaja berpeluang membuat penampilan sulung di pusingan akhir kelayakan, skuad negara juga akan layak secara automatik ke Piala Asia Arab Saudi 2027.
Malah, skuad negara juga berpeluang melonjak kedudukan dalam ranking dunia selain dapat beraksi menentang 10 pasukan terbaik Asia di peringkat itu nanti.
Pandangan sama disuarakan pertahanan negara, Syahmi Safari yang kembali menyertai skuad kebangsaan untuk dua perlawanan menentang Kyrgyzstan dan Taiwan.
"Kyrgyzstan adalah pasukan di ranking lebih baik berbanding Malaysia, namun kami memiliki keputusan yang positif sebelum ini bertemu lawan seperti mereka, saya percaya Malaysia mampu menghadirkan permainan yang terbaik," kata Syahmi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram