[VIDEO] Luis Diaz lepas rindu, gugur air mata jantan peluk bapa lepas 2 minggu diculik penjenayah Colombia


  • Podium
  • Rabu, 15 Nov 2023

Diaz (kiri) bersama bapanya di kem pusat skuad nasional Colombia pada Selasa.

PEMAIN sayap Liverpool, Luis Diaz telah kembali bersama bapanya buat pertama kali selepas insiden penculikan yang mengemparkan satu dunia berlaku pada bulan lepas.

Diaz yang mendapat panggilan skuad nasional Colombia kembali ke negara kelahiran untuk bertemu bapanya di kem pusat kebangsaan bersama ahli keluarga lain.

Menerusi perkongsian video Seleccion Colombia dalam media sosial, kelihatan air muka bapanya, Luis Manuel Diaz menangis kegembiraan dengan melepaskan rasa rindu terhadap cucunya sebaik sahaja melihat wajahnya.

Luis Diaz turut tidak melepaskan peluang untuk memeluk erat bapanya sambil menangis teresak-esak selepas ahli keluarganya menjadi mangsa penculikan penjenayah selama 13 hari bermula pada 29 Oktober lalu.

Selepas hampir 13 hari berada dalam tawanan, Luis Manuel Diaz dibebaskan daripada penculik mereka.

Individu berusia 56 tahun itu dikhabarkan dilepaskan berhampiran sempadan Colombia-Venezuela dengan bantuan badan perunding polis.

Dia kemudiannya dibawa menggunakan helikopter ke perkampungan Valledupa, Colombia yang terletak kira-kira 90 kilometer (km) daripada lokasi kejadian.

Sebelum ini, Luis Manuel serta isterinya, Cilenis Marulanda diculik ketika berada di stesen minyak berhampiran kediaman mereka.

Difahamkan, kejadian itu berpunca daripada kemahuan penjenayah untuk mendapatkan wang tebusan memandangkan kes sedemikian sejak akhir-akhir ini sering berlaku di beberapa buah negara sekitar Amerika Selatan.

Marulanda, yang juga merupakan ibu kepada Luis Diaz kemudiannya dibebaskan selepas sesi rundingan dibuat pihak berkuasa terdiri daripada tentera Colombia.

Luis Diaz sebelum ini pernah membuat rayuan terbuka kepada pihak media apabila dia memaparkan mesej 'Bebaskan Bapa Saya' selepas menjaringkan gol ketika Liverpool berdepan Luton Town pada 6 November lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram