Ejen import tak tolak bekas bintang Kedah bakal kembali, perjelas status Soony Saad ke Selangor


  • Podium
  • Khamis, 16 Nov 2023

Rabih Ataya (kiri) mungkin kembali ke Liga Super musim depan.

PERJALANAN Liga Malaysia (Liga M) semakin menuju kemuncaknya selepas berbaki tiga perlawanan Liga Super serta final Piala Malaysia yang akan berlangsung pada 8 Disember depan.

Sehubungan itu, pastinya pihak pengurusan bertungkus lumus melakukan persiapan untuk memancing pemain-pemain bintang bagi menyertai pasukan mereka musim hadapan.

Individu yang paling sibuk pastinya ejen pemain apabila mahu menempatkan klien mereka dalam kelab terbaik dalam negara seperti Johor Darul Takzim (JDT) atau Selangor FC.

Ia bagi mengelakkan masalah yang boleh berlaku di penghujung hari seperti tunggakan gaji, tempat tinggal dan sebagainya.

Seorang ejen pemain, Sherif Saleh, 34, berkongsi antara pasukan yang paling mudah untuk berurusan dalam Liga M selepas kliennya beraksi cemerlang bersama kelab tersebut.

"Saya mempunyai ramai bintang profesional dan pemain muda di seluruh dunia terutamanya dalam Malaysia sekarang seperti Soony Saad, Ousmane Fane dan Abdul Abdeen yang kini bersama Penang FC.

"Saya juga membawa beberapa pemain import ke Liga Malaysia sejak tiga tahun lalu seperti Rabih Ataya," katanya kepada Majoriti

Ousmane Fane

Shekoo (kiri) bersama Ousmane Fane (kanan) ketika menandatangani kontrak bersama Penang FC.

Tambahnya lagi, sejak tiga tahun lepas dia telah bekerjasama dengan beberapa pasukan dan Penang FC antara kelab terbaik yang pernah berurusan dengannya.

“Bagi saya, saya telah bekerjasama dengan kesemua pasukan dalam Liga Malaysia.

“Tetapi saya berpeluang untuk mendapatkan kontrak dengan pasukan seperti UiTM FC, Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Perak FC dan Penang FC.

“Bagi saya semua pasukan dalam Liga M baik, tetapi keadaan boleh mengubah segalanya, tetapi untuk saya Penang FC paling mudah untuk berurusan.

“Tapi mereka ada waktu sukar musim ini, namun saya percaya mereka akan kembali menjadi pencabar musim depan," ujarnya.

Rabih Ataya

Shekoo bersama Rabih Ataya (kiri) selepas dia menandatangani kontrak bersama Kedah pada 2021.

Sherif atau lebih dikenali sebagai Shekoo juga tidak menolak kemungkinan bekas bintang KDA FC, Rabih Ataya akan kembali ke Liga M musim depan serta menjelaskan khabar angin Soony Saad ke Selangor.

“Soony dan Ousmane serta beberapa pemain mungkin akan sertai Liga Malaysia musim depan.

“Kini saya sedang berusaha untuk membawa Rabih Ataya kembali ke Liga M.

“Khabar angin tentang Soony Saad ke Selangor musim ini benar, mereka ada menunjukkan minat kepada pemain Lebanon itu,” jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram