Belum sah lagi tapi 3 perpindahan makin jelas dalam Liga Super


  • Podium
  • Khamis, 16 Nov 2023

Selain beraksi untuk pasukan Sang Penyu, Azam Azmi juga menabur bakti bersama skuad kebangsaan. — Facebook/FAM

MUSIM Liga Super untuk tahun 2023 semakin menemui titik penamat, jadi tidak hairanlah jika ada aktiviti untuk mendapatkan pemain baharu bagi persediaan sesebuah pasukan.

Tidak boleh dinafikan bahawa jendela perpindahan kerap menyajikan kejutan buat penyokong bola sepak yang mengharapkan keputusan pihak pengurusan mampu membawa pasukan masing-masing ke lebih maju ke hadapan.

Dengan kemasukan pemain-pemain baharu dalam pasukan, tentunya dilihat akan membantu di bahagian serangan mahupun pertahanan.

Berikut Majoriti menyenaraikan tiga pemain Liga Malaysia yang belum sah tapi perpindahan semakin jelas terlihat menjelang jendela perpindahan dibuka untuk musim depan.

WhatsApp Image 2023-11-15 at 16.19.16

Azam Azmi menjadi buruan pasukan-pasukan utama Liga Super. — Facebook/Terengganu FC

1) Azam Azmi Murad

Tonggak pertahanan Terengganu (TFC), Azam Azmi Murad dilaporkan kini menjadi sasaran kelab elit Liga Super tanah air bagi menguatkan lagi pertahanan pasukan tersebut.

Johor Darul Takzim (JDT) antara pasukan yang dilaporkan mahu mendapatkan khidmat bek kanan Sang Penyu itu pada perpindahan musim depan.

Pemain muda berusia 22 tahun itu mula mencipta nama dalam landskap bola sepak tanah air selepas mencipta debut dalam skuad utama Terengganu FC pada 2020.

Walaupun masih muda, pemain kelahiran Pulau Pinang itu sudah menempa namanya sebagai antara bek kanan terbaik sepanjang tiga musimnya bersama skuad Sang Penyu.

Meskipun belum ada pengumuman yang dibuat oleh kedua-dua pihak, ejennya @joe_berbatov bagaimanapun memberi isyarat yang dia dijangka kekal bersama Sang Penyu.

Azalinulah

Azalinullah pernah menyuarakan hasratnya untuk ingin kembali berbakti bersama negeri kelahirannya, Terengganu. — Facebook/Perak FC

2) Azalinullah Alias

Berbeza cerita di kem Perak FC, nama pemain tengah, Muhammad Azalinullah Mohammed Alias menjadi bualan penyokong skuad Seladang apabila dikhabarkan mendapat tawaran daripada beberapa kelab Liga Super.

Difahamkan, kelab yang berada dalam kelompok lima pasukan terbaik Liga Super antara yang mahu mendapatkan khidmatnya musim depan.

Bagaimanapun, pemain berusia 27 tahun itu pernah menyuarakan hasratnya ingin kembali berbakti bersama negeri kelahirannya, Terengganu dengan menyarung semula jersi Sang Penyu.

Berikutan perkara itu, skuad kendalian Yusri Che Lah dilihat berdepan masalah kekurangan pemain musim depan.

Dalam pada itu, pemain tengah The Bos Gaurus (TBG) itu hanya menunggu isyarat daripada pihak pengurusan Perak FC sekiranya akan menerima lanjutan kontrak mahupun tidak untuk musim depan.

WhatsApp Image 2023-11-10 at 21.53.42

Kelincahan Stuart membantu Sabah FC berada dalam prestasi memberansangkan musim ini. — Facebook/Sabahfc

3) Stuart Wilkin

Berita perpindahan tonggak tengah Sabah FC, Stuart Wilkin mula mendapat pelbagai reaksi terutamanya daripada penyokong Sang Badak.

Perkara itu tersebar luas selepas isu tunggakan gaji turut menimpa kem The Rhinos.

Berikutan masalah gaji yang dihadapi Sabah FC, muncul khabar angin mengatakan bahawa adalah tidak mustahil jika beberapa pemain utama memilih untuk angkat kaki daripada kelab.

Difahamkan, Selangor merupakan destinasi yang sesuai dipilih oleh Stuart sebagai pasukan baharunya kerana turut berpeluang untuk beraksi sebagai kesebelasan utama.

Jika melihat kepada situasi Gergasi Merah yang kini kekurangan pemain tengah, Stuart dilihat berpeluang untuk menggantikan Brendan Gan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram