SABAH FC berjaya memanfaat kelebihan bermain di halaman sendiri selepas menewaskan wakil kelab Vietnam, Hai Phong FC dengan keputusan 4-1 dalam perlawanan keempat Kumpulan H, Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2023 pada 9 November.
Sebelum ini, Sabah tewas di tangan Hai Phong dengan keputusan 2-3 di laman lawan, namun akhirnya dapat menyempurnakan misi balas dendam mereka di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah.
Dengan kemenangan itu, Sang Badak mengungguli Kumpulan H dengan meraih sembilan mata selepas empat perlawanan.
Bagaimanapun, gelagat import Sabah FC, Park Tae-su sempat mencuri tumpuan penyokong bola sepak tanah air ketika The Rhinos berada dalam sesi latihan menjelang saingan Liga Super 2023.
Menerusi satu perkongsian video di TikTok, kapten pasukan Sang Badak, Park Tae-su atau lebih mesra dengan panggilan Pak Karim itu mencuri tumpuan penyokong tanah air apabila menunjukkan bakat terpendamnya.
Bukan sahaja hebat di atas padang malah Pak Karim sempat mempamerkan kebolehannya mengendalikan kamera DLSR yang dipercayai dimiliki oleh media Sabah FC ketika sesi latihan dengan mengambil gambar rakan sepasukannya.
Meninjau ruangan komen, rata-rata penyokong Sabah memuji kebolehan yang dimiliki oleh import Korea Selatan itu selain fasih berbahasa Melayu.
"Macam-macam lah gaya si Park ni, lucu betul, macam serasi betul sudah dia di Sabah,silap-silap tidak sudah dia mahu balik Korea ni," kata @raynerrain905.
"Aduii lawak betul bah si Park ni, entah kamera siapa dia ambil tu," kata @sharonnn.
"Lawak orang Korea ni, jadi penghibur dia di Sabah FC," kata @doewan.
Selepas ini, Sabah FC akan berdepan Kelantan FC ketika menyambung semula perjuangan baki aksi Liga Super pada 20 November. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram