Jangan sampai turun ke JDT II — Penganalisis


  • Podium
  • Rabu, 15 Nov 2023

Azam Azmi (kiri) menjadi rebutan pasukan-pasukan utama Liga Super. — Facebook/Terengganufc

BARU-BARU ini, terdapat ura-ura mengatakan Johor Darul Takzim (JDT) bakal mendapatkan pemain pertahanan Terengganu FC, Azam Azmi Murad pada jendela perpindahan akan datang.

Dilihat sebagai antara pemain pertahanan kanan berkualiti dalam negara, tidak hairan jika Azam menjadi rebutan pasukan-pasukan utama Liga Super.

Meskipun terdapat desas-desus mengenai masa depan Azam bakal meninggalkan pasukan itu namun spekulasi tersebut mula reda selepas ejennya, @joe_berbatov memberi isyarat yang dia dijangka kekal bersama Sang Penyu.

WhatsApp Image 2023-11-15 at 16.19.16 (1)

Azam Azmi merupakan tonggak pasukan Sang Penyu yang beraksi di posisi pertahanan kanan. — Facebook/Terengganufc

Mengulas perkara itu, penganalisis bola sepak tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli memberikan pandangan bahawa perpindahan Azam ke JDT merupakan peluang yang baik jika melihat kepada fasiliti pasukan yang berpangkalan di Selatan itu.

Meskipun begitu, ia akan menjadi satu kerugian sekiranya Azam gagal menempatkan diri dalam kesebelasan utama skuad Harimau Selatan.

"Kalau dia tidak boleh bersaing, satu kerugian kepada Azam sebab kita tidak mahu dia masuk JDT dan akhirnya duduk di bench dan diturunkan ke skuad JDT II.

"Ia adalah perkara yang perlu difikirkan oleh Azam sendiri, adakah dia juga perlu meletakkan syarat sekiranya ke JDT, dia perlu berada dalam kesebelasan utama umpamanya.

"Sebagai player kena fikir juga, walaupun memang JDT menawarkan segala-galanya, kita tahu JDT adalah pasukan penawar terbaik kepada pemain Liga M.

"Tetapi pada waktu yang sama pemain perlu faham, jika sudah masuk ke JDT, maksudnya dia kena pastikan dia bukan sekadar masuk JDT tapi tempat dalam kesebelasan utama adalah satu jaminan yang perlu dilihat oleh pemain tersebut," katanya kepada Majoriti.

Bagaimanapun, beliau melihat Azam merupakan antara pemain tempatan yang mempunyai kelebihan beraksi sebagai tonggak utama.

"Saya nampak ia sebagai pilihan JDT untuk memilih pemain tempatan sebagai kesebelasan utama pasukan itu.

"Ini antara benda yang baik juga bukan hanya kepada JDT malah kepada Harimau Malaya itu sendiri," jelasnya.

Tambahnya lagi, bek kanan Sang Penyu itu perlu bekerja keras untuk bersaing dengan tonggak JDT iaitu Matthew Davies dan Syahmi Safari.

"Tetapi, Azam perlu bekerja keraslah sebab masih ada Matthew Davies dan Syahmi Safari.

"Tapi saya percaya Azam mungkin akan menjadi pilihan yang lebih baik untuk berada di posisi itu," kongsinya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram