KYRGYZSTAN sudah mencari cara untuk mengatasi tekanan perlawanan di gelanggang lawan untuk memperoleh keputusan positif menentang Malaysia dalam aksi pembuka Kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2026 / Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Khamis.
Ketua Jurulatihnya, Stefan Tarkovic berkata, beliau sedar perlawanan pada Khamis adalah perlawanan penting bagi kedua-dua pasukan dalam usaha untuk mendapatkan tempat dalam pusingan ketiga dan Malaysia mempunyai kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.
Bagaimanapun, beliau yakin bahawa skuad ‘The White Falcons’ boleh menjadi pasukan yang lebih baik jika pemain-pemainnya dapat menyesuaikan diri dengan cepat dan memberikan fokus penuh untuk melaksanakan taktik permainan.
"Perlawanan ini penting bagi kami dan pasukan Malaysia, mereka bermain di gelanggang sendiri dan pemain seharusnya bermain di hadapan penyokong mereka dan merasa yakin.
"Kami perlu menyesuaikan diri dengan situasi ini dan menampilkan persembahan terbaik...dan jika kami berjaya melakukan ini, saya yakin kami boleh menjadi pasukan yang sangat baik untuk perlawanan esok (Khamis),” katanya pada sidang media praperlawanan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor pada Rabu.
Menurut jurulatih dari Slovakia berusia 50 tahun itu, pasukannya telah menjalani fasa persediaan yang rapi termasuk menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca di Malaysia sejak tiba di Petaling Jaya pada Khamis lepas.
Pan-gon ketika sidang media praperlawanan di Wisma FAM di Kelana Jaya pada Rabu. — Facebook/FAM
Sementara itu, mengulas mengenai Malaysia, beliau percaya pasukan Harimau Malaya bimbingan Kim Pan-gon dari Korea Selatan adalah pasukan yang baik dan telah menunjukkan peningkatan positif sejak tahun lalu.
"Kami mengkaji pasukan Malaysia dalam permainan terakhir dan kami meneliti pemain...tentu saja kami mengenali prestasi pasukan dan prestasi individu, kami menganalisis banyak," katanya.
Sementara itu, pemain pertahanan Tamirlan Kozubaev, bekas pemain PKNS FC dari 2019-2020, berkata, rakan sepasukannya sudah bersedia secara mental dan fizikal untuk perlawanan esok.
"Esok akan menjadi perlawanan yang mencabar kerana pasukan Malaysia mempunyai pemain berkualiti, tetapi seperti yang dikatakan oleh jurulatih, kami sudah bersedia sepenuhnya dan berharap ia akan menjadi permainan yang menarik dan baik," kata pemain berusia 29 tahun itu.
Menjelang perlawanan itu, rekod pertemuan berpihak kepada Kyrgyzstan setelah memenangi 1-0 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Melaka pada tahun 2018.
Selepas perlawanan menentang Kyrgyzstan yang menduduki ranking ke-97 esok, Malaysia akan beraksi di tempat lawan menentang Taiwan (ranking ke-152) pada 21 November.
Selepas dua perlawanan bulan ini, Malaysia di ranking ke-137, dijadual bertemu pasukan ke-72 dunia Oman di tempat lawan dan sendiri tahun hadapan masing-masing pada 21 dan 26 Mac, bertemu Kyrgyzstan di Bishek (6 Jun) dan Taiwan (11 Jun) di Malaysia. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram