Ayron dirisik kelab luar negara, media Columbia rungkai masa depan 2 import Selangor


  • Podium
  • Rabu, 15 Nov 2023

Gergasi Merah kini menghuni kedudukan kedua dengan memungut sebanyak 52 mata. — Facebook/SelangorFC

KIRA-KIRA tiga perlawanan Liga Super lagi akan memberi jaminan sama ada Selangor FC berhasil mendapat tempat ke pentas Asia musim depan sesuai dengan sasaran kelab berpangkalan di Lembah Klang berkenaan.

Walaupun perjuangan di Piala FA dan Piala Malaysia terkandas namun tidak dapat dinafikan prestasi Gergasi Merah dalam saingan Liga Super wajar mendapat pujian daripada penyokongnya selepas berhasil menghuni kedudukan kedua dengan memungut sebanyak 52 mata.

Selain kredit diberikan pada pengendali Selangor, Tan Cheng Hoe, barisan pemain yang tidak henti bertungkus-lumus memainkan peranan masing-masing dalam memastikan Gergasi Merah mendapatkan 17 kemenangan daripada 23 perlawanan liga juga pantas untuk menerima respons positif daripada penyokong.

Antara pemain yang sering mendapat pujian ialah tonggak import Selangor FC, Ayron del Valle terutamanya selepas dia mendahului carta penjaring terbanyak Liga Super dan diikuti diikuti oleh import Johor Darul Takzim (JDT), Fernando Forestieri dan Bergson da Silva.

Setakat 23 perlawanan Liga Super pemain berusia 34 tahun itu diturunkan, Ayron sudah meledak 21 jaringan untuk Gergasi Merah dan rekod cemerlang itu menyebabkan ramai penyokong berharap khidmatnya akan diteruskan dalam menempuh musim depan.

Hasrat pemain ke-12 Selangor untuk melihat Ayron menyarung jersi Selangor pada musim depan bagaimanapun semakin samar apabila bekas penyerang Once Caldas itu difahamkan sedang dipantau oleh sebuah kelab berpangkalan di Columbia.

WhatsApp Image 2023-11-15 at 20.51.42

Ayron sudah mencetak 21 jaringan gol dalam 23 aksi Liga Super setakat ini. — Facebook/SelangorFC

Perkara itu dikongsikan oleh wartawan media Columbia, Mariano Olsen pada laman X, yang mana dia mendedahkan masa depan Ayron dan rakan sepasukannya di Selangor FC, Yohandry Orozco.

“Berita dari Malaysia. Pemain Venezuela, Yohandry Orozco baru sahaja memperbaharui kontraknya dengan Selangor FC sehingga Jun 2025.

“Ayron Del Valle, penjaring terbanyak Liga Super Malaysia dengan 21 gol sedang mempertimbangkan tawaran sama ada untuk melanjutkan hubungannya dengan kelab yang sama atau menerima tawaran yang diterima daripada FPC (Football Profesional Colombiano),” tulisnya.

Penyerang berketinggian 1.75 meter itu tiba dengan memegang status pemain paling mahal dalam skuad semasa Gergasi Merah apabila diletakkan tanda harga 500,000 euro (RM2.3 juta) oleh laman pasaran pemain antarabangsa, transfermarkt.com.

Manakala, Orozco yang tiba pada awal Januari lalu itu nyata mempunyai kelebihan dengan membantu menstabilkan pasukan pada musim ini dan ia dibuktikan apabila pemain berusia 31 tahun itu adalah watak utama menghidupkan bahagian tengah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram