Tze Yong, dua beregu negara mara pusingan ketiga Sukan Asia


  • Podium
  • Rabu, 04 Okt 2023

Pearly-Thinaah berdepan tugas getir apabila dijadualkan bertemu beregu nombor dua dunia Baek Ha Na-Lee So Hee daripada Korea Selatan pada Khamis. — Facebook/BAM

DUA lagi beregu negara - Pearly Tan-M.Thinaah dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, serta perseorangan lelaki, Ng Tze Yong, berjaya mara ke pusingan suku akhir Sukan Asia Hangzhou 2022, selepas menewaskan lawan masing-masing di Gimnasium Binjiang, Hangzhou pada Rabu.

Beregu wanita utama negara, Pearly-Thinaah bagaimanapun berdepan tugas getir apabila dijadualkan bertemu beregu nombor dua dunia Baek Ha Na-Lee So Hee daripada Korea Selatan pada Khamis.

Juara Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu dijangka meraih tentangan sengit beregu Korea Selatan itu yang pastinya bermotivasi tinggi susulan euforia mengungguli acara berpasukan wanita, Ahad lepas.

Terdahulu, gandingan itu melepasi pusingan kedua selepas mengetepikan pasangan Thailand, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai 21-15, 21-17 usai 39 minit perlawanan.

"Saya berpendapat setiap kejohanan hampir sama, tetapi ini Sukan Asia (semua orang memburu pingat). Kami sangat teruja dan cuba untuk fokus pada permainan kami serta tidak terlalu memikirkan persembahan pemain lain," kata Pearly, manakala Thinaah berharap mereka dapat meneruskan momentum kemenangan pada Khamis.

Pearly-Thinaah sebelum ini dua kali bertemu gandingan itu, iaitu ketika separuh akhir Terbuka Perancis 2022 yang menyaksikan pasangan negara muncul pemenang kejohanan, serta dalam final Masters Malaysia 2023 ketika Baek dan Lee menundukkan mereka untuk merangkul kejuaraan.

Sementara itu, bekas juara dunia beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik melangkah ke suku akhir selepas menewaskan beregu Thailand Supak Jomkoh-Kedren Kittinupong 21-12, 21-14.

Beregu nombor lima dunia itu akan dicabar beregu nombor lapan dunia dari China Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi bagi perebutan slot separuh akhir.

Tze Yong yang mengejutkan bekas juara dunia Loh Kean Yew dari Singapura pada Selasa, membawa momentum kemenangan itu pada Rabu dengan mengalahkan pemain ke-35 dunia, Kantaphon Wangcharoen dari Thailand 21-17, 21-12.

Perseorangan ranking ke-19 dunia itu akan menentang pemain nombor tiga dunia Kodai Naraoka dari Jepun, pada Khamis.

Namun, dalam perseorangan wanita, bekas juara remaja dunia Goh Jin Wei menamatkan cabaran di Hangzhou selepas tewas 6-21, 12-21 kepada Gregoria Mariska Tunjung dari Indonesia.

Terdahulu, perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia mara ke suku akhir selepas menundukkan juara dunia Kunlavut Vitidsarn dari Thailand 10-21, 21-19, 21-6 sekali gus mengikut langkah beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang mengalahkan wakil India Sai Patheek-Tanisha Crasto 21-18, 21-18.

Zii Jia akan bertemu perseorangan India HS Prannoy manakala Tang Jie-Ee Wei dijadualkan berdepan pemenang perak Olimpik Tokyo 2020, Zheng Si Wei-Huang Ta Qiong dari China. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram