[VIDEO] Penjaga gol Urawa tiba-tiba 'ghaib', jadi faktor pasukan kalah tipis


  • Podium
  • Selasa, 14 Nov 2023

Tangkap layar gawang Urawa Reds tanpa penjaga gol mereka.

KEBERANIAN penjaga gol berpangalaman Urawa Red Diamonds, Shusaku Nishikawa membawa padah ke atas pasukannya sendiri apabila tindakannya yang maju membantu bahagian serangan sebaliknya menjadi punca kekalahan di laman sendiri.

Dalam perlawanan Liga Jepun Divisyen Satu (J-League) baru-baru ini, pasukan dengan jolokan Akai Akuma itu gagal mengutip mata penuh selepas tewas tipis 1-2 di tangan pesaing terdekatnya, Vissel Kobe pada Ahad lalu.

Keputusan tidak memihak kepada Urawa Reds itu juga secara tidak langsung memadam hasrat skuad kendalian Maciej Skorza untuk memungut tiga mata penuh dan sekali gus untuk mengejar dua kelab teratas iaitu Vissel Kobe (65 mata) dan Yokohama FM (63 mata).

Lebih mengecewakan penyokong Urawa Reds apabila kekalahan itu boleh dikatakan berpunca daripada penjaga gol mereka apabila Nishikawa meninggalkan gawangnya untuk membantu bahagian depan ketika sepakan percuma diberikan pengadil kepada Akai Akuma pada masa kecederaan.

Nasib tidak menyebelahi pasukan gergasi Jepun itu apabila sepakan percuma tersebut berhasil ditangkap dengan kemas oleh penjaga gawang, Vissel iaitu Daiya Maekawa yang selepas itu menghantar bola jauh kepada pemain di bahagian atas.

Bola dihantar oleh Maekawa itu diterima oleh penyerang berbisa Vissel Kobe, Yuya Osako dan peluang terbuka luas untuk pemain itu menjaringan gol susulan gawang Urawa Reds tidak dikawal oleh Nishikawa.

Rakaman video kelekaan penjaga gol berusia 37 tahun itu dimuat naik oleh J.Football Now pada laman X (Twitter) dengan kapsyen 'apa yang Nishikawa fikirkan' pada ciapan tersebut.

Jaringan gol dari Osako secara tidak langsung mengubah keputusan perlawanan yang pada awalnya Urawa Reds berhasil mengikat Vissel Kobe 1-1 dan akhirnya kemenangan mutlak menjadi milik skuad kendalian Takayuki Yoshida. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram