40 pemain Liga M3 hadir uji bakat, rebut 12 slot sertai latihan bersama kelab EPL di England


  • Podium
  • Selasa, 14 Nov 2023

Seramai 40 pemain menghadiri sesi latihan yang diadakan di sebuah sekolah sekitar ibu negara pada Selasa. — Facebook/AFL

USAHA Liga Bola Sepak Amatur (AFL) untuk terus menaikkan mutu bola sepak tanah air diteruskan apabila pada Selasa, mereka mengadakan satu sesi pemilihan khas buat pemain Liga M3.

Menariknya, sesi tersebut diadakan dengan kehadiran beberapa staf kejurulatihan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Wolverhampton Wanderers di padang KL Tenby International School, Setia Alam, Selangor di bawah program 'Dare to Dream'.

Berdasarkan muat naik di laman media sosial AFL, seramai 40 pemain hadir untuk merebut peluang berlatih di England bersama pasukan berkenaan.

"Sesi penilaian diadakan pada sebelah pagi dan petang yang dikendalikan Pengurus Projek Antarabangsa Wolves, Joe Hunt, Jurulatih Bola Sepak & Pendidikan Wolves, Ryan Griffiths dan Jurulatih Pembangunan Bola Sepak Wolves, Cody Harper.

401603473_842522277875913_8486325378378626328_n

Peluang berlatih di England bersama Wolves pastinya sukar ditolak. Facebook/AFL

"Hadir menyaksikan sesi penilaian pemain ialah Pengerusi AFL, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, Ketua Jabatan Inovasi Pengguna MBSB Bank, Norashikin Mohd Nor, bekas pemain kebangsaan, Datuk Zainal Abidin Hassan serta Ketua Pegawai Operasi, Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad," tulisnya.

Peluang berkenaan pastinya sukar ditolak memandangkan padang latihan di England terbabit mempunyai fasiliti serba lengkap yang dapat menaikkan kebolehan masing-masing.

Berdasarkan maklumat terkini, tiada calon yang sudah terpilih diumumkan dengan perkara tersebut dijangka bakal didedahkan kepada umum pada masa terdekat.

Inisiatif berkenaan bukanlah sesuatu yang baharu memandangkan beberapa pemain tempatan pernah diberikan peluang sebegitu tahun-tahun sebelum ini.

Meskipun tiada impak ketara buat mereka, ia boleh dianggap sebagai satu pengalaman cukup menarik dalam menaikkan lagi semangat dan kesungguhan dalam karier masing-masing. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram