NAMA mendiang B.Sathianathan tampak tidak lekang dari bibir bekas pemain kebangsaan, S. Subramaniam selepas ditanya siapakah individu yang dia akan jadi jika bergelar jurulatih dalam program Astro Arena, Bola itu Life yang dikendalikan Faiz Gurun dan Keeshmatstats, baru-baru ini.
Subramaniam berkata, dia memilih banyak aspek kerana sukar untuk membuat pilihan siapakah individu yang dia mahu jadi jika bergelar jurulatih satu hari nanti.
"Sangat susah untuk menjawab, majoriti untuk banyak aspek, kalau dari segi taktikal mungkin saya akan memilih 'coach' Sathianathan 'blend with' Bojan Hodak sikit.
"Kalau psikologi pemain saya pilih Bojan kerana 'man management' dia tidak teruk.
"Jika persediaan perlawanan, sekali lagi Sathianathan, saya mahu menyediakan perlawanan seperti dia.
"Kalau 'game management' saya akan pilih Sathianathan dengan Bojan Hodak," katanya dalam Bola itu Life.
Sathianathan pernah mengendalikan Kelantan pada 2010.
Penyokong Kelantan pastinya tidak boleh melupakan Subramaniam yang banyak membantu The Red Warriors (TRW) menjuarai pelbagai kejuaraan sepanjang perkhidmatannya di sana.
Menyertai Kelantan daripada Perak FC pada 2010, Subramaniam atau lebih dikenali dengan panggilan Subra berjaya membantu TRW menjuarai Piala Malaysia 2010, Liga Super 2011 dan antara pemain yang merangkul kejuaraan 'treble' pada 2012.
Pada 2012, Subra mengalami kecederaan lutut (ACL) selepas bertembung dengan pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Hairuddin Omar dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2012 yang memaksanya untuk berehat selama enam bulan.
Meskipun mengalami kecederaan lutut, ia tidak menghalang minat Johor Darul Takzim (JDT) untuk membawanya ke Selatan tanah air pada musim 2014.
Kali terakhir Subra aktif bermain bola sepak pada 2022 bersama Petaling Jaya City FC sebelum pasukan itu dibubarkan selepas tidak mampu bersaing dalam Liga Malaysia untuk musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram