[VIDEO] 'Dia tiba-tiba telefon saya', Subramaniam kongsi kisah sebulan sebelum pemergian Sathianathan


  • Podium
  • Jumaat, 10 Nov 2023

Kehilangan Sathianathan cukup dirasai sehingga hari ini meskipun sudah hampir lima bulan mendiang meninggal dunia.

PEMERGIAN bekas pengendali Harimau Malaya, B Sathianathan cukup dirasai peminat bola sepak tanah air sehingga hari ini.

Mendiang menghembuskan nafas terakhirnya di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur setelah dilaporkan bertarung dengan penyakit kanser tahun-tahun sebelum ini.

Selain diratapi penyokong, kehilangannya turut dirasai pemain yang pernah menimba ilmu dan pengalaman di bawah kendaliannya, termasuk di peringkat kelab.

Walaupun kelihatan sebagai seorang yang tegas, Sathianathan dikatakan sebagai seorang jurulatih yang mahir dalam menasihati anak-anak buahnya.

Antara yang mengakui perkara itu ialah bekas pemain Kelantan FA, S Subramaniam yang berpeluang meraih tunjuk ajar daripada mendiang selama dua musim.

Sepanjang berada di bawah kendaliannya, pertahanan tengah tersebut boleh dianggap sebagai tonggak utama pasukan dengan sumbangannya kerap ditagih Sathianathan.

Jadi, tidak hairanlah apabila Subramaniam mempunyai hubungan amat baik dengan mendiang sehingga kehilangannya amat dirasainya.

Namun, dalam satu temu bual bersama Bola Itu Life baru-baru ini, bekas pemain kebangsaan itu berkongsi satu kisah menarik yang terjadi beberapa bulan sebelum pemergian Sathianathan.

"Mendiang pernah telefon saya dan satu hari, tiba-tiba dia telefon dan tanya apakah yang sedang saya lakukan? Ia merupakan sesuatu yang berlaku secara tiba-tiba.

"Ketika itu, dia tanya adakah saya tahu bahawa skuad Bawah 16 Tahun (B-16) negara sedang berdepan Uzbekistan (dalam aksi persahabatan)?," katanya.

Sathianathan kemudiannya meminta agar bekas pemainnya tersebut menonton dan menganalisis perlawanan berkenaan dengan situasi itu cukup menghairankan buatnya.

Jelas Subramaniam, antara kelemahan awal yang dicatatkan ketika aksi tersebut adalah apabila skuad muda negara bergelut untuk merencanakan gerakan daripada barisan serangan.

2225537

Subramaniam menghabiskan beberapa musim beraksi bersama skuad TRW. Facebook/TRW Kelantan FC

Hal itu turut diakui mendiang yang mengatakan pemain perlu menguasai aspek berkenaan kerana masing-masing sudah diberikan tempoh mencukupi di peringkat akademi.

"Sathianathan kata kepada saya bahawa mereka sudah berlatih bersama-sama selama empat tahun. Tetapi, kenapa mereka tidak dapat mencari penyelesaian untuk isu tersebut?

"Pada saya, mendiang sudah tahu apakah visi utamanya dalam perlawanan tersebut sebelum menegaskan ada perkara yang tidak betul mengenainya," jelas Subramaniam.

Dalam karier kejurulatihannya, Sathianathan pernah memikul peranan sebagai pengendali skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara untuk dua tahun.

Kehadirannya berkenaan menyaksikan pasukan negara muncul juara dalam Pestabola Merdeka 2007 dengan pencapaian itu membolehkannya dilantik sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya.

Di peringkat kelab pula, mendiang pernah mengendalikan beberapa pasukan Liga Super, termasuk Kelantan FA dan Selangor FA dengan pelbagai kejayaan diraihnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram