
SEBUAH lagi pasukan yang beraksi dalam Liga Malaysia dikhabarkan mengalami masalah tunggakan gaji meskipun tidak bermain di Liga Super.
Dengan beraksi di liga amatur sahaja pasukan itu tidak mampu membayar gaji pemain meskipun tidak menandatangani sebarang bintang import.
Ini memberikan gambaran jelas bahawa pasukan daripada liga amatur belum bersedia untuk bersaing dalam Liga Super yang mana memerlukan bajet kira-kira RM5 ke hingga RM10 juta untuk satu musim.
Baru-baru ini, bekas penyerang Harimau Muda, Muhammad Zafuan Azeman memuat naik status dalam Facebook bersama emoji duit seakan-akan memberi petanda berlakunya isu tunggakan gaji.
Bukan itu sahaja, bekas penyerang Uthai Thani tersebut turut membuat 'tag' nama pasukan yang sedang diwakilinya ketika ini.
Tangkap layar posting Zafuan dalam Facebook.
Sebelum ini, Zafuan memulakan 'debut' bersama Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan tidak pernah menjaringkan gol buat Sang Kenari itu.
Pada 2019, pemain kelahiran Kangar, Perlis itu sertai Perlis FA sebelum berhijrah ke Thailand bersama Angthong FC, Penang FC, Kelantan United dan Uthai Thani.
Musim ini, Zafuan kembali ke negeri kelahirannya dengan menyertai Perlis United dan berjaya menjaringkan satu gol dalam empat perlawanan terakhir.
Perlis United dalam Liga M3 menduduki tangga kelapan dan merekodkan sembilan kemenangan, lima seri serta 10 kekalahan dalam 24 perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram