SAINGAN Netball Super League (NSL) 2023 menutup tirai dengan skuad bimbingan Tracey Robinson, Johor Jewels berjaya mempertahankan kejuaraan liga yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada Ahad.
Johor Jewels yang memegang gelaran juara kali kedua itu berjaya menewaskan Kuala Lumpur (KL) Wildcats dengan keputusan 47-43 dalam aksi final yang cukup sengit itu.
Berkongsikan kegembiraan itu, skuad Johor Jewels yang dibimbing oleh Tracey berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan oleh anak-anak buahnya itu.
Barisan pemain KL Wildcats muncul naib juara NSL 2023 selepas ditewaskan Johor Jewels. — Facebook/NSL
Tracey memuji persembahan pasukannya ketika menewaskan KL Wildcats yang dianggap sebagai antara pencabar terkuat pada musim ini.
"KL Wildcats sudah menunjukkan aksi yang baik tapi pasukan kendalian saya tampil melakukan yang lagi terbaik dalam aksi tersebut.
"Saya menurunkan pemain utama yang mempunyai kekuatan berbeza di final dan mereka memberikan persembahan yang sangat baik," katanya kepada Majoriti.
Bagi persediaan musim depan, Tracey berkata, pasukannya sudah membuat penilaian dengan mahu memperbaiki beberapa kelemahan agar dapat mengekalkan kejuaraan NSL.
"Kami akan lebih bersedia untuk menghadapi musim depan namun ada beberapa bahagian perlu diperbaiki," kongsinya.
Sementara itu, pengendali KL Wildcats, Norizan Rajab berasakan Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM) perlu memperbanyakkan lagi kejohanan seperti ini bagi memberi peluang kepada pemain-pemain muda untuk mengilap bakat mereka.
"Jika ada kejohanan seperti ini, kita tidak akan ketandusan dan pemain-pemain muda dapat pendedahan sekali gus boleh mewakili negara.
"Ini adalah platform yang baik untuk melahirkan pemain yang berbakat," ujarnya.
Tambahnya lagi, kekalahan di tangan Johor Jewels tempoh hari adalah disebabkan kelemahan dari segi pemain muda dan kekurangan pemain yang berpengalaman.
"Sebelum ke final kami sedia maklum mempunyai kelemahan iaitu dari segi pemain muda yang kurang diberi pendedahan mengenai kejohanan berprestij tinggi seperti ini.
"Namun, pemain import banyak membantu KL Wildcats dalam kejohanan itu," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram