[VIDEO] Nunez tunjuk sikap tidak profesional lepas Liverpool tewas aksi UEL di Perancis


  • Podium
  • Jumaat, 10 Nov 2023

Tangkap layar rakaman video tersebut. — Agensi

LIVERPOOL FC mengalami kekalahan dramatik selepas tewas di tangan Toulouse FC dengan keputusan 2-3 dalam aksi Liga Europa (UEL) pada Jumaat.

Toulouse muncul pasukan yang pertama menewaskan Liverpool dalam Liga Europa musim ini.

Dalam perlawanan tersebut, Aron Donnum, Thijs Dallinga dan Frank Magri antara pemain yang membantu Toulouse menundukkan The Reds.

Liverpool akhirnya meraih satu gol pada minit ke-74 menerusi gol sendiri pemain Toulouse, Cristian Casseres dan Diogo Jota menambah jaringan kedua buat The Reds minit ke-89.

Bagaimanapun, perlawanan itu berakhir dengan kontroversi apabila pembabitan teknologi video bantuan pengadil (VAR) menyaksikan gol penyamaan jaringan Jarell Quansah pada masa kecederaan dibatalkan.

Hal ini kerana, apabila gol tersebut diperiksa oleh VAR, MacAllister didakwa menggunakan tangan semasa menghantar bola kepada Quansah sebelum menjaringkan gol. Ini mendorong pengadil kemudiannya membatalkan gol tersebut.

Berikutan insiden itu, penyerang Liverpool, Darwin Nunez dilihat enggan bersalaman dengan pihak lawan usai perlawanan itu.

Dalam satu perkongsian video, selain menepis tangan lawan, Nunez dilihat menarik tangannya apabila didekati oleh Magri.

Walaupun kalah, Liverpool kekal menerajui Kumpulan E dengan sembilan mata sementara Toulouse pula berada di tangga kedua dengan tujuh poin. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram