KEMEROSOTAN prestasi sesebuah pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M) antara punca utamanya adalah masalah gaji.
Meskipun berdepan isu tunggakan gaji seperti dakwaan penyokong, Sabah FC berjaya menewaskan wakil kelab Vietnam, Hai Phong FC dengan keputusan 4-1 dalam perlawanan keempat Kumpulan H, Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2023 pada Khamis.
Bagaimanapun, berikutan masalah gaji yang dihadapi Sabah FC, muncul khabar angin mengatakan bahawa adalah tidak mustahil jika beberapa pemain utama memilih untuk angkat kaki daripada kelab.
Antara pemain yang dijangka meninggalkan The Rhinos pada musim depan dan memilih untuk menyarung jersi pasukan lain ialah tonggak tengah, Stuart Wilkin.

Kelincahan Stuart membantu Sabah FC berada dalam prestasi memberansangkan musim ini. — Facebook/Sabahfc
Hal itu dibangkitkan penyokong apabila sebelum ini pengerusi kelab Port FC yang berpangkalan di Thailand, Nualphan Lamsam tanpa berselindung mengakui berhasrat untuk membawa masuk beberapa pemain skuad bola sepak kebangsaan untuk beraksi bersama kelabnya dan antaranya ialah Stuart.
Nualphan atau yang lebih mesra disapa Madame Pang tertarik dengan prestasi yang ditampilkan oleh Stuart dalam saingan Piala Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) Mitsubishi Electric 2022 yang sedang berlangsung ketika ini.
Tentunya perkara itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana sebelum ini sudah terdapat pemain tempatan pernah menabur bakti bersama beberapa kelab di Thailand antaranya Safawi Rasid yang beraksi untuk Ratchaburi FC.
Bagaimanapun, langkah itu dilihat kurang menyakinkan kerana pemain dilihat sukar untuk menyesuaikan diri dengan persekitaraan yang baharu.
Sebagai contoh, Safawi dan import Terengganu FC, Liridon Krasniqi yang dilihat bergelut dan mempunyai kesukaran untuk menyesuaikan diri bersama kelab di Thailand itu.
Malah, perkara itu hanya mencalarkan reputasi seseorang pemain dan adalah lebih baik sekiranya mereka kekal beraksi dalam saingan Liga Super.
Berbalik kepada prestasi memukau tonggak tengah Sabah, antara kelab besar yang bakal menjadi destinasi Stuart ialah Johor Darul Takzim (JDT) dan Selangor FC.
Pemain berusia 25 tahun membuktikan reputasinya dengan mempamerkan aksi cemerlang bersama Sang Badak apabila sudah membantu pasukan Borneo itu cemerlang di pentas Asia.
Pastinya Stuart lebih tertarik untuk memilih Harimau Selatan sebagai destinasinya musim depan kerana JDT merupakan pasukan yang beraksi dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) selain memiliki barisan pemain yang berkualiti.
Namun, perpindahannya ke JDT akan mengalami kesukaran berikutan perlu bersaing dengan pemain tengah yang cukup berkualiti seperti Hong Wan dan Afiq Fazail.
Cerita berbeza sekiranya Stuart memilih Selangor sebagai pasukan baharunya, dia akan berpeluang untuk beraksi jika melihat kepada situasi Gergasi Merah yang kekurangan pemain tengah dan boleh menggantikan Brendan Gan.
Meskipun begitu, sekiranya Selangor gagal mara ke Piala ACL musim depan, tentunya kehadiran Stuart dalam pasukan itu tidak berbaloi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
