SELEPAS beberapa jam bapa bintang Liverpool FC, Luis Diaz dibebaskan, tonggak The Reds itu tersenarai dalam kesebelasan utama Liverpool namun tewas 3-2 di tangan Toulouse awal pagi Jumaat.
Kekalahan mengejut di Perancis hadir menerusi gol Aron Donnum, Thijs Dallinga dan Frank Magri yang menyaksikan Liverpool mengalami kekalahan pertama mereka dalam kempen Liga Europa musim ini.
Bagaimanapun, perlawanan itu berakhir dengan kontroversi apabila pembabitan VAR menyaksikan gol penyamaan jaringan Jarell Quansah pada masa kecederaan dibatalkan.
Toulouse kini mengumpul tujuh mata, dua mata di belakang kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu dan tiga mata di depan pasukan tangga ketiga St Gilloise dalam Kumpulan E.
Liverpool mengalami kekalahan pertama mereka dalam kempen Liga Europa musim ini.
Kemenangan Toulouse itu sekali gus mengembirakan seluruh penyokong yang hadir bagi menyaksikan perlawanan tersebut.
Mana tidaknya, kedudukan Toulouse dalam liga sangat berbeza apabila mereka menduduki tangga ke-14 selepas hanya meraih dua kemenangan dalam 11 perlawanan terakhir.
Penjaga gol muda Toulouse, Guillaume Restes tidak dapat menyembunyikan perasaannya apabila menyertai ultras untuk meraikan kemenangan dengan Liverpool itu.
Pemain berusia 18 tahun yang merupakan produk akademi Toulouse itu turut mengetuai penyokong-penyokong untuk melakukan 'chant' untuk diraikan bersama pemain-pemain.
Dalam perlawanan itu, pada minit ke-36, Donnum merampas bola daripada Kostas Tsimikas (Liverpool) sebelum merembat masuk gol yang terbias bagi membantu Toulouse mendahului sebelum rehat.
Pasukan tuan rumah mendapat gol kedua apabila Dallinga menewaskan penjaga gol Liverpool, Caoimhin Kelleher pada minit ke-58.
Gol sendiri Cristian Casseres pada minit ke-73 memberikan Liverpool talian hayat tetapi tuan rumah, lebih bersemangat susulan sorakan padu penyokong mereka, bertindak balas serta-merta.
Tiga minit kemudian, Kelleher tidak dapat menangani satu hantaran lintang dan Magri berada di tempat yang tepat untuk mengembalikan kelebihan dua gol Toulouse.
Diogo Jota, yang menggantikan Diaz, menjaringkan gol kedua untuk Liverpool pada minit ke-89.
Tuan rumah mampu bertahan untuk meraih tiga mata, namun tidak sebelum gol penyamaan pada minit ketujuh masa kecederaan oleh Quansah dibatalkan selepas reviu video menyaksikan bola terkena tangan terlebih dahulu dalam serangan gol itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram