PEMAIN tengah Johor Darul Takzim (JDT), Safiq Rahim sememangnya cukup dikenali dengan karakter dan personaliti yang cukup penting sebagai seorang kapten.
Selain kerap diberi peranan berkenaan di peringkat kelab, dia turut memikul tanggungjawab itu selama beberapa tahun bersama pasukan kebangsaan.
Bagaimanapun, di sebalik imejnya yang cukup berkaliber, Safiq juga pernah terpalit dengan beberapa kontroversi di dalam mahupun di luar padang.
Tandukan ke atas Faisal Halim serta pertelingkahan dengan Azrif Nasrulhaq merupakan antara momen yang sukar dilupakan dengan pemain terbabit.
Namun, salah satu insiden yang pastinya mencalarkan reputasi pemain berusia 36 tahun itu adalah ketika dia didapati menuturkan kata-kata kesat selepas perlawanan.
Kejadian tersebut berlaku selepas skuad Harimau Selatan ditabalkan sebagai juara Piala Malaysia 2017 menentang Kedah FA di Stadium Shah Alam, Selangor.
Ghairah dengan keputusan itu, Safiq yang sedang meraikan kejayaan bersama rakan sepasukan dirakam mengeluarkan kata-kata kurang elok tanpa ditujukan kepada mana-mana pihak.
Bagi sesetengah pihak, luahan itu dibuat kepada segelintir penyokong yang sememangnya tidak menggemarinya secara peribadi mahupun terhadap JDT.
Isu tersebut kemudiannya menerima perhatian Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang menegaskan terdapat kemungkinan dia akan dikenakan tindakan.
Setiausaha Agung ketika itu, Datuk Hamidin Mohd Amin turut meniliti perkara berkenaan dengan mengatakan hanya Jawatankuasa Tatatertib FAM boleh mengeluarkan keputusan.
Namun, sehingga kini, masih tiada perkhabaran sekiranya Safiq pernah dikenakan denda oleh badan induk bola sepak negara itu atau tidak.
Perkara berkenaan juga pernah mencuri perhatian sekali lagi apabila pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris menegurnya secara terbuka dalam nada berseloroh.
Tetapi, ia jelas menjadi satu pengajaran buatnya apabila Safiq tidak lagi terlibat dalam kontroversi sedemikian dengan reputasinya semakin dihormati saban tahun. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram