PEMILIK Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris sebelum ini berkongsi rancangan kelab Harimau Selatan termasuklah membawa masuk beberapa wajah baharu bagi membantu memperkukuhkan pasukan pada saingan 2024.
Beliau mengesahkan akan membawa masuk lima tonggak baharu di pelbagai posisi bagi memantapkan skuad Harimau Selatan bagi saingan musim depan dan antara yang sudah pasti ialah pemain tengah dari Argentina, Jalil Elias.
Selain bintang San Lorenzo itu, terdapat empat pemain lagi yang masih menjadi tanda tanya penyokong dan sejak daripada itu pelbagai nama individu termasuk tonggak Liga Super dikaitkan akan beraksi bersama juara Liga Super 2023 itu.
Terbaharu, legenda Selangor FC, Razman Roslan pula tampil memberi petunjuk bahawa salah seorang pemain yang bakal menyarung jersi JDT pada musim depan adalah tonggak di bahagian pertahanan kanan.
Hal ini secara tidak langsung memberi bayangan bahawa dua bek kanan Harimau Selatan iaitu Matthew Davies dan Syahmi Safari bakal menerima saingan baharu untuk merebut posisi bahagian tersebut.
“Saya rasa kalau diberikan peluang kepada Syahmi Safari, dia antara pemainnya (mencabar posisi Davies). Dan kita perlu ingat tahun depan, ada satu pemain akan dipersiapkan bersama-sama dengan skuad JDT,” katanya ketika diwawancara bersama Astro Arena.
Bayangan pemain baharu itu dibangkitkan ketika bekas tonggak kebangsaan itu mengulas mengenai persaingan antara Matthew dan Syahmi yang kini jarang mendapat tempat sebagai kesebelasan utama Harimau Selatan.
Syahmi setakat ini diturunkan dalam 13 perlawanan bersama JDT. — Facebook/JDT
Menurut Razman, jurang antara Matthew dan bekas pemain Selangor itu tidaklah terlalu berbeza namun kelebihan lebih memihak kepada pemain kacukan Malaysia-Australia apabila dia sering mendapat banyak minit permainan.
"Untuk saya, tidak jauh beza (Matthew dan Syahmi) tetapi Matt Davies masih lagi di atas kerana kelebihan Matt Davies sentiasa mendapat minit bermain domestik dan antarabangsa. Tetapi jurang itu tidak jauh,” jelasnya.
Dengan ketibaan pemain baharu di posisi kanan seperti yang dikatakan Razman, Syahmi dan Matthew nampaknya akan melipatgandakan usaha untuk merebut minit permainan, sekali gus memikat hati Esteban Solari pada musim depan.
Antara nama bek kanan yang dikaitkan akan ke Selatan pada musim depan ialah tonggak Terengganu FC, Azam Azmi susulan kualiti ditampilkannya dalam saingan domestik dan Piala AFC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram