SRI Pahang FC terpaksa akur gagal mengutip tiga mata penuh apabila tumbang kepada PDRM dengan kekalahan tipis 2-3 dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang pada Rabu.
Separuh masa pertama bermula dengan percubaan demi percubaan dilakukan oleh jentera serangan Sri Pahang yang diketuai oleh Kpah Sherman dan ia jelas membuah hasil apabila pemain import itu memecah kebuntuan seawal minit ketujuh.
Kem Tok Gajah mula terancam apabila bola terkena tangan pemain tengah dari Filipina, Kevin Ingreso pada minit ke-32 dan membuatkan pengadil perlawanan memberi sepakan penalti kepada pasukan pelawat dan disempurnakan oleh Bruno Suzuki.
Pada minit ke-42, gabungan trio yang dimulakan Hadi Fayyadh menerusi hantaran Bruno dan disempurnakan oleh Dzulfahmi Abdul Hadi berhasil meletakkan skuad The Cops di depan.
Sebelum babak pertama berakhir, penyerang Jepun-Brazil itu sekali lagi menjadi peledak The Cops dengan mencetak jaringan kedua peribadi menerusi umpanan dari Hadi Fayyadh pada minit ke-46 sekali gus menjadikan keputusan 3-1.
Kesilapan Kevin (kiri) memberi sepakan penalti kepada PDRM FC. — Facebook/Sri Pahang
Sri Pahang cuba merapatkan kedudukan apabila Stefano Brundo menyumbang gol kedua menerusi sepakan penalti pada minit ke-67 selepas Zuhair Aizat dijatuhkan oleh penjaga gol The Cops, Ramadhan Hamid.
Perlawanan di gelanggang keramat Tok Gajah itu turut dihiasi dengan beberapa insiden kontroversi sehingga pengadil perlawanan melayangkan tujuh kad kuning.
Bukan hanya layangan kad kuning, aksi ke-23 Liga Super itu juga dihiasi dengan gangguan teknikal apabila lampu Stadium Darul Makmur terpadam sehingga perlawanan terpaksa berehat selama empat minit.
Menjengah di ruangan komen, ramai penyokong Sri Pahang turut bercakap mengenai kelemahan Stadium Darul Makmur yang disifatkan seperti lampu zaman penjajahan Jepun.
Perlawanan dimulakan semula pada minit ke-100 sehingga wisel penamat berbunyi dan keputusan kekal memihak kepada The Cops yang menyaksikan Sri Pahang terpaksa akur tewas kepada pasukan Lembah Klang itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram