JOHOR Darul Takzim (JDT) menutup mulut haters apabila berhasil menewaskan Ulsan Hyundai 2-1 pada aksi Kumpulan I saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Selasa.
Kemenangan itu berhasil membantu JDT membalas dendam ke atas wakil Korea Selatan itu selepas tewas 1-3 pada pusingan pertama, 24 Oktober lalu dan sekali gus memberi peluang kepada Harimau Selatan untuk menempatkan diri ke pusingan 16 pasukan terbaik.
Dua jaringan kemenangan JDT disumbang dari penyerang Brazil, Heberty Fernandes dan pemain sayap tempatan, Akhyar Rashid bagi memastikan kemenangan berpihak kepada Harimau Selatan di hadapan penyokong sendiri.
Kejayaan juara bertahan Liga Super buat tujuh kali berturut-turut itu bukan hanya menerima pujian daripada pengikut bola sepak domestik, malah penyokong negara jiran juga turut mengakui kehebatan Harimau Selatan.
Seorang penyokong Indonesia, Aun Rahman menganggap juara bertahan Piala FA itu boleh membantu memajukan landskap bola sepak tanah air dan jelas meletakkan Indonesia jauh di belakang.
“JDT berjaya menang ke atas raksasa bola sepak Asia iaitu Ulsan Hyundai. Pemain tempatan menjaringkan gol kemenangan. Kita boleh berdebat apa sahaja kalau bercakap mengenai bola sepak Malaysia. Dengan JDT, Malaysia boleh mencapai banyak hal yang mana bola sepak Indonesia belum pernah rasai,” katanya.
Menerusi ciapan dari penyokong negara jiran itu juga memuji kualiti pemain tempatan JDT yakni Akhyar yang berhasil menjadi wira pasukan dan membantu Harimau Selatan mendapatkan tiga mata penuh.
Kejayaan ke atas gergasi Korea Selatan itu adalah kemenangan kali ketiga JDT selepas menewaskan Ulsan sebanyak dua kali pada aksi kumpulan Piala ACL tahun lepas.
Selepas ini, anak-anak buah Esteban Solari akan berdepan Kawasaki Frontale, 28 November ini di gelanggang lawan sebelum kembali ke Iskandar Puteri untuk berdepan BG Pathum United, 12 Disember nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram